LONDON – Chelsea bersedia untuk menguji West Ham dengan mengemukakan tawaran ke atas bintang England, Declan Rice.
Laporan di Stamford Bridge mendakwa the Blues sudah meluahkan hasrat menandatangani pemain itu sejak musim lalu di bawah bimbingan bekas pengurusnya Frank Lampard.
Namun penggantinya Thomas Tuchel juga mahu meneruskan usaha membawa pemain berusia 22 tahun itu ke Stamford Bridge.
Rice memulakan kariernya bersama the Blues sebagai pemain akademi selama 10 tahun sebelum dilepaskan pada 2014 untuk menyertai Hammers.
Bintang perancang tengah itu juga boleh bermain posisi bek pertahanan dan kini diletakkan nilai £100 juta oleh pengurus West Ham, David Moyes.
Bagaimanapun Chelsea mengharapkan £60-70 juta harga munasabah dan mencukupi untuk pemain itu melengkapkan perpindahan ke Stamford Bridge.
West Ham tidak sanggup kehilangan Rice dan laporan mendakwa Chelsea sedia menguji Hammers kali ini dengan tawaran lumayan.
Sementara itu, Rice juga dikatakan bersedia untuk berhijrah ke kelab asalnya itu dan masih belum membuka rundingan untuk memperbaharui kontrak bersama Hammers.
Kegagalan Moyes yang masih tidak dapat mengesahkan kontrak tetap untuk Jesse Lingard yang dipinjamkan dari Red Devils antara faktor mempengaruhi situasi kontrak Rice di Hammers.-MalaysiaGazette