Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

SESEORANG yang dituduh tidak bersalah sehingga dirinya berjaya dibuktikan bersalah oleh mahkamah pada akhir proses perbicaraan. Oleh itu adalah tidak wajar untuk melemparkan atau mengelar seseorang dengan pelbagai jenis gelaran jenayah selagi dia belum dibuktikan bersalah. Ia susulan pendakwaan penyelewengan dana parti politik terhadap Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di bawah Seksyen 403 dan 405 Kanun Keseksaan [Akta 574] iaitu kesalahan yang melibatkan pecah amanah jenayah.

Sistem prosedur jenayah ini bukan sahaja terpakai di Malaysia malah turut terpakai di seluruh dunia. Ianya diwujudkan bagi memberi ruang dan peluang yang
seluas-luasnya kepada semua pihak yang terlibat dengan sesuatu kes jenayah untuk membuktikan atau menafikan kesalahan yang telah dituduh. Memang sudah menjadi tugas hakiki setiap pendakwaraya di dalam kes-kes jenayah untuk membuktikan segala jenis dakwaan yang dibawa oleh mereka terhadap diri tertuduh mengikut lunas dan peruntukkan undang-undang yang ada dalam negara.

Pada masa yang sama juga sudah menjadi hak hakiki seseorang yang telah dituduh untuk membela diri mereka serta menafikan segala pertuduhan yang telah dilemparkan terhadapnya mengikut lunas dan peruntukkan undang-undang yang ada. Setelah semua pihak yang terlibat mengemukakan hujahan serta bukti masing-masing, pihak mahkamah akan memberikan keputusan mereka dengan sewajarnya. Jika terdapat mana-manapihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang telah diberikan, rayuan boleh dikemukakan ke peringkat mahkamah yang seterusnya.

Bagi membukti kes yang melibatkan jenayah, standard atau tahap pembuktian yang dikenakan adalah lebih tinggi berbanding dengan kes sivil iaitu pembuktian di luar keraguan munasabah kerana implikasi kesalahan jenayah terhadap diri individu yang terlibat adalah lebih serius berbanding dengan kesalahan sivil.

Sekiranya pihak pendakwaan gagal membukti kes dakwaan mereka mengikut standard atau tahap pembuktian terbabit maka pihak yang dituduh boleh dibebaskan terus oleh pihak mahkamah. Sebelum sesuatu kes jenayah itu dibicarakan dengan sepenuhnya dan sesuatu keputusan muktamad diberikan oleh pihak mahkamah, penting untuk semua pihak tidak memberi atau mengeluarkan keputusan mereka sendiri terhadap sebarang kes yang dibawa ke mahkamah dan memberi sebarang label terhadap pihak yang dituduh.

Setiap individu dalam negara kita harus menghormati prinsip yang telah diterima pakai dalam semua negara termasuk di Malaysia iaitu prinsip “Seseorang itu tidak bersalah melainkan setelah dibuktikan bersalah”. Prinsip ini adalah penting bagi melindungi diri pihak yang dituduh daripada dipandang serong oleh
masyarakat sehingga boleh menjejaskan kehidupan diri tertuduh itu sendiri dan keluarganya.

Prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah juga dianggap sebagai hak asasi yang patut dimiliki oleh setiap manusia seperti yang jelas termaktub di bawah Artikel 11 Pengistiharan Antarabangsa Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR 1948). Artikel 11 Pengistiharan Antarabangsa
Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR 1948) memperuntukkan hak dianggap tidak bersalah sehingga dibukti salah.

Prinsip berkenaan juga telah diguna pakai di England melalui kes Woolmington v DPP [1935] AC 462 yang menjadi rujukkan kebanyakan kes
di negara-negara Komanwel termasuk lah di Malaysia. Di Malaysia, walaupun Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut prinsip ini secara jelas dan nyata tetapi pihak mahkamah telah memutuskan bahawa prinsip ini terpakai di Malaysia dan ianya adalah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ini dapat dilihat melalui kes yang diputuskan oleh pihak Mahkamah Persekutuan di dalam kes PP v Gan Boon Aun [2017] 4 CLJ 41. Kes-kes yang telah dinyatakan di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa prinsip tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah perlu diguna pakai dan dihormati oleh
semua pihak dalam negara kita. Prinsip terbabit juga selaras dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia di bawah Artikel 5 (1) yang memperuntukkan hak kebebasan diri setiap warganegara Malaysia. Artikel 5 (1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukkan dengan jelas bahawa “Tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang”.

Oleh yang demikian adalah penting supaya hak kebebasan diri setiap daripada warganegara ini dihormati serta dilindungi pada setiap masa. Setiap orang perlu
membiarkan pihak mahkamah serta pihak- pihak yang terlibat di dalam sesebuah kes untuk berbicara dengan aman dan lancar tanpa sebarang gangguan.

Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)