ringgitHarga saham di Bursa Malaysia tinggi semasa dibuka hari ini, didorong beberapa sokongan belian dalam saham wajaran tinggi terpilih walaupun pasaran saham Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka diniagakan dalam jajaran ketat antara paras 1,515 dan 1,535 minggu depan di tengah-tengah sentimen pelabur yang lemah.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata, para pelabur mengambil pendekatan berhati-hati susulan peningkatan semula kes Covid-19 di seluruh dunia sejak awal bulan ini.

Menurut data terbaharu daripada laporan situasi mingguan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kes jangkitan Covid-19 meningkat 12 peratus sejak minggu lepas dengan semua rantau mencatatkan peningkatan kecuali Amerika dan Afrika.

Di dalam negara, program vaksinasi Malaysia mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan jumlah dos suntikan harian mencapai lebih 500,000 pada 22 Julai.

Namun, pada masa yang sama, jumlah kes harian COVID-19 mencecah paras tertinggi sebanyak 15,573 kes pada 23 Julai.

“Dari segi data ekonomi, data eksport Malaysia bagi Jun 2021 akan diumumkan Rabu depan, yang dijangka merekodkan pertumbuhan dua angka tahun ke tahun meskipun kemajuan perlahan susulan tiada lagi kesan asas rendah,” kata Adam kepada Bernama.

Fokus utama pasaran minggu depan juga adalah pada mesyuarat dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) selama dua hari yang akan berakhir pada Khamis.

Adam berkata pasaran masih mengharapkan mesyuarat itu akan menyediakan sedikit perkembangan mengenai perbincangan pengurangan pakej rangsangan.

“Alasannya adalah AS mencatatkan program vaksinasi yang baik yang kemungkinan dapat mencegah penularan meluas varian Delta COVID-19,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, Bursa Malaysia diniagakan kebanyakannya rendah terutamanya disebabkan kebimbangan penularan jangkitan COVID-19.

Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya ditutup pada Selasa sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

FBM KLCI meningkat 0.96 mata untuk ditutup minggu ini kepada 1,523.44 daripada 1,522.48 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 61.56 mata kepada 11,178.13, Indeks FBMT 100 naik 48.29 mata kepada 10,872.62 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 140.25 mata kepada 12,325.16.

FBM Ace menambah 182.66 mata kepada 7.423.23 dan FBM 70 meningkat 226.78 mata kepada 14,721.31.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.27 mata kepada 189.87, Indeks Perladangan naik 50.78 mata kepada 6,243.54 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 50.94 mata kepada 14,844.93.

Indeks Tenaga berkurangan 2.17 mata kepada 764.88, Indeks Penjagaan Kesihatan naik 60.05 mata kepada 2,916.65 dan Indeks Teknologi menambah 4.50 mata kepada 89.52.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 20.89 bilion unit bernilai RM13.06 bilion daripada 22.77 bilon unit bernilai RM14.31 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 11.57 bilion saham bernilai RM10.17 bilion berbanding 13.32 bilion saham bernilai RM11.04 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.33 bilion unit bernilai RM139.50 juta daripada 1.15 billon unit bernilai RM134.19 juta.

Jumlah dagangan Pasaran Ace berkurangan kepada 7.99 bilion saham bernilai RM2.74 bilion daripada 8.28 bilion saham bernilai RM3.13 bilion. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast