PUTRAJAYA – Mereka yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 dijangka menerima berita baik tidak lama lagi.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau akan mengumumkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi mereka dalam beberapa hari lagi.
“Kita akan muktamadkan perkara ini dan saya akan umumkannya sebagai satu pakej penuh, termasuk dalam aspek sosial, sukan, dan aktiviti makan di restoran. Perincian ini akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya dalam temu ramah khas dengan media di sini hari ini.
“Saya benar-benar berharap langkah ini akan memberikan sedikit ruang, keselesaan bagi orang ramai untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik,” katanya.
Pada 17 Julai lepas perdana menteri mengumumkan bahawa kelonggaran bagi individu yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 akan diputuskan di mesyuarat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam minggu ini.
PPN dijadualkan untuk dibentangkan oleh perdana menteri dalam Sidang Khas Parlimen yang bermula Isnin ini.
Merujuk kepada persidangan parlimen, Muhyiddin berkata walaupun sesi itu akan dibuka untuk perbahasan, kerajaan tegas dengan keputusan untuk meneruskan PPN sehingga keadaan negara pulih.
— BERNAMA