logo polis
Gambar hiasan

AMPANG JAYA – Dua anggota polis cedera selepas diserang oleh lima lelaki tempatan ketika melakukan pemeriksaan di bawah Blok F, Flat Sri Nilam, Ampang, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu berlaku pada jam 11.10 malam ketika melakukan dalam rondaan cegah jenayah dan rondaan Operasi Covid-19.

“Setiba di tempat kejadian, terdapat sekumpulan lima lelaki tempatan sedang berkumpul dalam keadaan mabuk di bawah Blok F Flat Sri Nilam.

“Anggota bertugas cuba membuat pemeriksaan namun suspek-suspek tidak memberi kerjasama dan bertindak agresif cuba menghalang anggota polis dengan menolak dan ingin menyerang anggota bertugas.

“Anggota tersebut kemudian meminta bantuan anggota Mobile Petrol Vehicle (MPV) dan semasa proses tangkapan dibuat berlaku pergelutan antara anggota polis dan suspek.

“Anggota polis telah ditumbuk di dada serta digigit lengan kiri dan tengkuk, malah suspek juga bertindak menendang dan menumbuk anggota polis, selain melemparkan kata-kata kesat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan tindakan agresif suspek-suspek, polis terpaksa menggunakan kekerasan  minumum dan salah seorang suspek mengalami kecederaan pada ibu jari kaki sebelah kanan akibat terkena jubin lantai.

Menurut beliau, dalam keadaan tidak terkawal dan suasana bergelut, salah seorang suspek telah berjaya melarikan diri.

Empat suspek yang ditangkap berumur 23 hingga 26 tahun dan tidak bekerja serta mempunyai rekod lampau dalam dadah dan jenayah kekerasan termasuk lelaki yang melarikan diri.

Menurutnya, semua suspek ditahan reman sehingga hari ini dan akan disambung reman di Mahkamah Majistret Ampang.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam dalam melaksanakan tugas dan boleh dihukum boleh dikenakan penjara selama 3 bulan atau dengan denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya yang memperuntukkan hukuman diseksa dengan penjaraselama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya jika disabitkan salah.

Semua suspek turut disiasat di bawah Seksyen 90 Akta Polis kerana berkelakuan tidak senonoh dibalai dan boleh dihukum denda tidak melebihi lima ratus ringgit atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, selain menggunakan Seksyen 224 Kanun Keseksaan iaitu lari dari tangkapan yang sah dengan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan salah seorang suspek yang lari semasa proses tangkapan dilakukan boleh menghubungi balai polis berdekatan. – MalaysiaGazette