Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak tidak setuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya dapur rakyat sudah penuh dengan bantuan kerajaan.

Mantan Perdana Menteri itu berkata, ketidakyakinan itu disebabkan bakul prihatin yang disediakan kerajaan hanya mengandungi beras lima kilogram, gula satu kilogram, tepung dua kilogram, bihun 400 gram, kicap 650 mililiter, sardine 230 gram, biskut dan kopi.

Kata beliau, kos diperuntukan sebanyak RM21 juta oleh kerajaan bagi program itu hanya dapat menyediakan 420,000 bakul makanan dengan setiap kos adalah RM50.

“Saya difahamkan kos makanan dalam bakul adalah RM40, manakala kos bungkusan (termasuk pelekat politik) dan penghantaran adalah RM10.

“Pada saya, keadaan hari ini amat berbeza dengan bantuan-bantuan bagi bencana lain seperti banjir besar yang merupakan keadaan sementara.

“Krisis pandemik kali ini berbeza sebab ramai penerima sudah tidak dibenarkan mencari rezeki sejak berbulan-bulan lamanya akibat kegagalan kerajaan membuat lockdown yang betul bagi membendung Covid-19,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin baru-baru ini yang dilaporkan berkata, rakyat tidak perlu mengibarkan bendera putih kerana kerajaan prihatin memberikan sebaik perhatian untuk membantu mereka.

Kata Perdana Menteri itu, kerajaan tidak berkompromi dalam soal pengurusan kebajikan rakyat selagi pandemik Covid-19 belum dapat diatasi dan soal ekonomi belum pulih.

Menurut Najib, keperluan bantuan makanan untuk rakyat yang berada dalam keadaan sekarang adalah jauh lebih besar.

Katanya, walaupun parti-parti politik Perikatan Nasional (PN) beria-ria melekatkan sticker dan menghantar bakul prihatin itu, peruntukan sebenar kerajaan bagi program berkenaan cuma RM5 juta.

“Biarpun RM600 bilion sudah dibelanjakan kerajaan PN dan sebanyak RM210 bilion dipinjam tahun ini, cuma RM5 juta diperuntukkan kerajaan bagi keluarga yang sudah tiada makanan.

“Baki RM16 juta daripada bajet RM21 juta program bakul prihatin ini sebenarnya disumbang Yayasan Petronas (RM5 juta), AEON Big (RM4 juta), Pharmaniaga (RM3 juta), Tenaga Nasional Berhad (RM2 juta) dan Telekom Malaysia (RM2 juta).

“Sebelum ini, kerajaan kata mereka akan korek RM5 bilion dari dana KWAN yang dibina kerajaan Barisan Nasional (BN) masa saya PM (Perdana Menteri) untuk membiayai sepenuhnya program vaksinasi negara,” katanya.

Namun selepas itu, kata beliau, Malaysia telah diderma 2.5 juta dos vaksin iaitu masing-masing satu juta dari Amerika Syarikat dan Jepun serta 500,000 dos dari China.

Katanya, dengan anggaran kos RM60 satu dos, kerajaan sudah jimat RM150 juta dan wang itu boleh serta patut digunakan untuk menambah baik program bakul makanan dengan menambah jumlah penerima dan kandungannya.

“Dengan menambah kandungan bakul, kerajaan juga akan memanfaatkan kos bungkusan dan penghantaran serta masa dan tenaga kerja yang digunakan bagi pengurusan program ini.

“Sebab kos sticker, kos bungkusan dan kos penghantaran bakul makanan tidak beza besar sekiranya nak hantar bakul yang mengandungi barangan bernilai RM140 berbanding barangan bernilai RM40.

“Jika niat ialah untuk membantu mereka yang benar-benar susah sehingga tiada wang untuk membeli makanan, maka bantulah dengan betul dan ikhlas,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. NAJIB PERGI TURUN PADANG….GUNAKANN DUIT YANG TELAH DIDAKWA ATAU DALAM SIMPANAN ITU

    “Jika niat ialah untuk membantu mereka yang benar-benar susah sehingga tiada wang untuk membeli makanan, maka bantulah dengan betul dan ikhlas,

Comments are closed.