Anggota polis membuat kawalan ketat disetiap jalan utama di bandaraya bagi mengawal mengenai isu mengibarkan bendera hitam sambil berkonvoi menggunakan kereta tentang bantahan tidak berpuasa hati terhadap kerajaan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Tar, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 24 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Polis mengesan sebanyak 15 kereta dan sebuah motosikal yang berkonvoi dengan mengibarkan bendera hitam sebagai tanda menyertai himpunan #LAWAN untuk menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap kerajaan di sekitar pusat bandaraya pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kenderaan-kenderaan berkenaan bergerak dari Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar ke pusat bandar jam 11.30 pagi tadi.

Katanya, polis berjaya mengenalpasti semua nombor pendaftaran kenderaan yang terbabit dan merakam video pergerakan konvoi berkenaan.

“Salah sebuah daripada 16 kereta berkenaan dinaiki tiga individu, sekali gus melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan dan mereka ditahan. Kompaun dikeluarkan serta-merta di lokasi,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah bercakap kepada media mengenai isu mengibarkan bendera hitam sambil berkonvoi menggunakan kereta tentang bantahan tidak berpuasa hati terhadap kerajaan ketika di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 24 JULAI 2021.

Tambah Mohamad Zainal lagi, berdasarkan pemeriksaan nombor pendaftaran kenderaan itu, polis mendapati salah seorang lelaki yang pernah dikompaun sebelum ini kerana menyertai perhimpunan mendukung ‘patung jenazah pesakit Covid-19’ di Dataran Merdeka, minggu lalu.

“Semua pihak yang terbabit dalam konvoi hari ini akan dipanggil dalam masa terdekat ini untuk siasatan lanjut,” tambahnya.

Kes itu disiasat di bawah Peraturan 9 dan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021.

Mohamad Zainal turut mengeluarkan amaran kerana dipercayai perhimpunan seumpama bakal diadakan di sekitar pusat bandaraya pada 31 Julai ini.

“Saya memberi amaran kepada mana-mana pihak yang merancang untuk mengadakan perhimpunan berkenaan di daerah ini supaya fikirkan semula dan melupakan hasrat itu.

“Kalau masih hendak berdegil, mereka mencabar polis. Kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan keras terhadap mereka berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada,” tegasnya. – MalaysiaGazette