Rayer
RSN Rayer.

KUALA LUMPUR – Sidang Khas Dewan Rakyat yang akan berlangsung esok diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh ahli-ahli Parlimen dengan menumpukan topik perbincangan mengenai hak-hak rakyat.

Penganalisis Politik, Dr Syed Agil Alsagoff berpendapat, sidang khas yang singkat tempohnya itu adalah satu platform penting dalam memberi tumpuan terhadap kepentingan rakyat menerusi segenap sudut dikala negara masih berdepan pandemik Covid-19.

Katanya, rakyat mahu kembali hidup harmoni dan perbincangan secara komprehensif dan kolektif perlu menjadi asas kepada persidangan yang akan berlangsung nanti.

“Ia menjadi satu haraan oleh rakyat terhadap ahli-ahli Parlimen termasuklah daripada kerajaan mahupun pembangkang.

“Kita semua ada tanggungjawab untuk menjaga dan mempertahankan rakyat, kita tertekan dengan segala masalah yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis dalam SkopMG bertajuk Sidang Khas Parlimen: Untuk Apa? yang disiarkan secara langsung di laman Facebook MalaysiaGazette malam ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata, sidang khas esok perlu dijadikan sebagai platform oleh kerajaan dalam mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi kenaikan mendadak kes Covid-19 yang semakin meningkat.

Katanya, apa yang dilakukan oleh kerajaan ketika ini perlu ditukar selepas pelbagai usaha dibuat namun, semua itu tidak dapat mengurangkan jumlah kes positif Covid-19 harian.

“Sepatutnya pendekatan yang diambil oleh kerajaan ini ditukar dengan mendengar cadangan dari pembangkang untuk kita cari penyelesaian.

“PKP ini hanya akan mengsengsarakan rakyat. Rakyat menjadi semakin marah,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan perlu mengambil pendekatan berbeza untuk menerima pandangan pembangkang agar masalah besar yang kini dihadapi negara dapat diselaiakan sebagai satu pasukan demi rakyat negara ini.

Terdahulu, program tersebut menjadi hangat apabila tiga ahli Parlimen yang diundang bertikam lidah ketika mengutarakan pandangan masing-masing.

Bagaimanapun, keadaan dapat diredakan apabila moderator Haslina A.R Kamaludin menukar tapik perbincangan dengan isu-isu lain. – MalaysiaGazette