Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Wakil-wakil media yang dibenar untuk membuat liputan Sidang Khas Dewan Rakyat perlu mematuhi garis panduan serta peraturan-peraturan baharu yang ditetapkan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, bagi tujuan itu sebuah bilik yang dilengkapi dengan dua komputer dan peralatan audio-visual dengan pautan Zoom khas disediakan untuk PETUGAS media.

Katanya, para petugas media boleh menghubungi Setiausaha Akhbar Speaker Dewan Rakyat atau Unit Komunikasi Korporat Parlimen sekiranya mereka ingin mengadakan sesi interaktif dengan mana-mana anggota Parlimen.

“Perkara yang sama perlu diikuti Ahli Parlimen yang ingin berinteraksi secara eksklusif dengan mana-mana wakil media, sama ada untuk sesi satu lawan satu atau secara berkumpulan,” katanya.

Menurut beliau, garis panduan itu terpakai kepada semua pengamal media yang diizinkan untuk membuat liputan fizikal pada persidangan tersebut.

Azhar berkata, Parlimen juga akan memberikan liputan langsung sidang media oleh ahli Parlimen dmelalui siaran langsung YouTube.

Akses ke pautan Zoom, katanya, juga akan disediakan kepada wartawan yang membuat liputan dari luar.

“Media juga dapat mengikuti liputan langsung yang disediakan melalui YouTube, laman web rasmi Parlimen Malaysia, MyKlikRTM dan Bernama.

“Semua foto penting sepanjang persidangan akan dirakam oleh jurugambar Parlimen bersama dengan jurugambar dari Jabatan Penerangan, yang semuanya dapat diakses oleh media,” ujarnya.

Untuk persidangan khas yang akan datang, hanya 72 pengamal media yang dibenarkan memasuki bangunan Parlimen.

Menurut Azhar lagi, alasan membataskan kehadiran jumlah media itu adalah kerana masalah keselamatan dan kesihatan berikutan peningkatan dalam kes harian Covid-19.

“Dalam memilih agensi berita, Sekretariat Parlimen mempertimbangkan beberapa perkara seperti bahasa penerbitan dan luasnya liputan agensi berkenaan untuk memastikan kualiti liputan dapat diikuti oleh semua lapisan masyarakat.

“Ini untuk memenuhi syarat kebebasan media dan kebebasan bersuara seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan,”jelasnya.

Persidangan Parlimen Khas akan bersidang selama lima hari dari 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos.

Sesi Parlimen penuh berikutnya akan diadakan selama 15 hari dari 6 September hingga 30 September.

Bagi sesi kedua untuk 2021, Dewan Rakyat akan bersidang selama 32 hari dari 25 Oktober hingga 16 Disember. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast