Datuk Seri Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menasihatkan doktor-doktor kontrak yang dijangka mengadakan mogok pagi esok supaya berfikir sebaik-baiknya kerana tindakan itu dilakukan semasa negara menghadapi krisis kesihatan.

“Kepada semua doktor kontrak Malaysia, saya menyeru, hartal anda adalah hak anda untuk bersuara dan menunjuk rasa.

“Tetapi semasa negara menghadapi krisis kesihatan ini, fikirkan sebaik-baik nya.. Kami menghormatinya dan kami juga mengiktiraf sumbangan anda pada tanahair,” katanya.

Prihatin dengan tuntutan doktor-doktor kontrak, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau juga menyeru kerajaan supaya menyerap kumpulan tersebut ke perjawatan tetap.

Katanya, langkah itu sebagai mengambil kira sumbangan, titik peluh dan pengorbanan doktor kontrak terutamanya sewaktu pandemik malah ia juga pengiktirafan khas dalam sejarah perubatan negara.

“Untuk kohort selepas mereka, keluarkan garis panduan baru yang lebih jelas untuk memasuki perkhidmatan kerajaan bagi memastikan tiada berlakunya lambakan pegawai perubatan,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Mohamad mengulas mengenai hartal pegawai perubatan kontrak yang dijangka diadakan esok di hospital-hospital di seluruh negara bermula jam 11 pagi esok.

Menurut beliau, tawaran penyelesaian yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini walaupun langkah kehadapan yang positif, tetapi masih tidak menyelesaikan tuntutan kumpulan itu.

“Tuntutan mereka jelas. Serapan ke jawatan tetap tidak berpencen, mencukupi dengan caruman untuk laluan kerjaya yang lebih menjamin.

“Penyerapan mereka ke jawatan tetap adalah penyelesaian yang Malaysia perlukan,” katanya.

Beliau turut menarik perhatian mengenai pandemik Covid-19 yang berlarutan selama 18 bulan telah menonjolkan pelbagai kelemahan ketara dalam sistem kesihatan negara.

Katanya, senario itu juga menunjukkan betapa Malaysia memerlukan peningkatan drastik untuk sistem kesihatannya.

“Pelaburan kita dalam sektor kesihatan sangat perlu dipertingkatkan. Ini mesti dalam lingkungan 7 ke 10 peratus GDP.

“Paradigma akses universal mesti beralih dan diselarikan dengan peningkatan kualiti perubatan,” katanya.

Mohamad berkata, nisbah yang lebih baik untuk doktor kepada penduduk mesti diutamakan begitu juga dengan nisbah pakar untuk 10,000 penduduk wajar dipertingkatkan dari 3.4 pada 2018 kepada 15 selari dengan tanda aras Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Bukan setakat itu, katanya, penyelidikan, kesihatan pencegahan, digitilasasi serta sistem sokongan lain, semuanya memerlukan peningkatan berganda.

“Tidak semua doktor dalam sistem kerajaan akan selamanya dengan kerajaan. Akan ada mereka yang memilih haluan lain.

“Namun pengalaman mereka dalam perkhidmatan kerajaanlah yang akan memberikan mereka wibawa yang mereka perlukan untuk masa depan mereka, bukan ganjarannya.

“Insyallah perjuangan anda adalah juga perjuangan kami demi Malaysia yang lebih baik,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Pad masa yang sama, pemimpin politik janganlah mengada-ngada sibuk sangat berpolitik hingga memperjudikan kesihatan, nyawa dan ekonomi rakyat. Bantulah PM/kerajaan untuk membina semula negara ini. Kami rakyat sedang memerhati.

Comments are closed.