SINGAPURA – Harga minyak sedikit berubah dalam dagangan hari ini kerana para pelabur menyeimbangkan kebimbangan permintaan bahan bakar susulan penularan pelbagai varian Covid-19 dan banjir di China berbanding jangkaan bekalan yang ketat sepanjang tahun ini.
Niaga hadapan minyak mentah Brent untuk bulan September turun AS$0.03 kepada AS$ 74.07 setong pada 0153 GMT sementara minyak mentah Texas Intermediate pada harga AS$71.99 setong, turun AS$0.08.
Kedua-dua kontrak pulih daripada kemerosotan 7% pada Isnin lalu dan menandakan kenaikan pertama dalam dua hingga tiga minggu minggu lalu kerana pelabur bertaruh permintaan akan tetap kukuh di tengah- tengah penurunan stok minyak dan kenaikan kadar vaksinasi.
“Kami melihat reaksi berlebihan di pasaran pada hari Isnin lalu dan seperti semua pembetulan teknikal yang lain setakat ini, penurunan minyak biasanya terbukti jangka pendek,” kata Howie Lee, Ahli Ekonomi di OCBC Bank Singapura.
Pasaran minyak global dijangka kekal mengalami defisit meskipun ada keputusan oleh Organisasi Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya untuk meningkatkan pengeluaran berbaki beberapa bulan lagi untuk tahun ini.
Prospek bekalan Iran semakin berkurang ketika perbincangan untuk menghidupkan semula perjanjian nuklear 2015 telah dilanjutkan ke bulan Ogos.
Sementara itu, Amerika Syarikat sedang mempertimbangkan untuk menghentikan penjualan minyak Iran ke China kerana bersiap sedia kemungkinan Tehran tidak akan kembali ke rundingan nuklear, kata seorang pegawai Amerika Syarikat. – MalaysiaGazette