Sekumpulan doktor kontrak berkumpul bagi menyahut seruan gerakan Hartal Doktor Kontrak susulan rasa tidak puas hati dengan cara pengendalian isu tersebut di Hospital Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 26 JULAI 2021.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tidak bersetuju dengan tindakan pegawai perubatan kontrak yang berkumpul di beberapa buah hospital untuk menyatakan rasa tak puas hati terhadap perkara membabitkan perlanjutan kontrak mereka.

Presidennya, Adnan Mat yang bimbang tindakan doktor kontrak itu boleh menjejaskan operasi perkhidmatan kesihatan negara berkata, banyak cara lain yang yang lebih bernas dan rasional boleh dilakukan daripada berkumpul seperti yang berlaku pada hari ini.

“Bagaimanapun CUEPACS menghormati suara yang dibawa oleh kumpulan pegawai perubatan kontrak ini yang disifatkan hanya mahu permasalahan mereka didengari dan diselesaikan oleh kerajaan.

“Kita berharap kerajaan atau pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan daripada sudut perundangan mahupun tindakan tatatertib yang boleh memberi kesan kepada perkhidmatan pegawai perubatan kontrak ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya, CUEPACS difahamkan tindakan ‘demonstrasi’ tersebut tidak menjejaskan operasi perkhidmatan kesihatan di fasiliti kesihatan masing-masing kerana ia hanya melibatkan mereka yang sedang rehat dan sedang bercuti.

Tambah beliau, kerajaan perlu memberi peluang kepada dontor kontrak memandangkan perkhidmatan amat diperlukan negara yang sedang menghadapi pandemik Covid-19.

Menurut Adnan, pihaknya berharap kerajaan dapat menyelesaikan segera permasalahan yang dihadapi oleh pegawai perubatan kontrak berhubung penempatan mereka khususnya daripada aspek keseluruhan sistem dan struktur bidang kesihatan negara.

“Berikan satu time frame yang jelas terhadap usaha yang akan dilakukan oleh kerajaan melalui pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) selain juga perlu melihat semula penempatan doktor yang bukan pada skop dan fungsi asalnya.

“Ketika ini terdapat juga doktor yang bertugas di bahagian pengurusan untuk laksana kerja pentadbiran dengan juga kewangan sedangkan kepakaran mereka adalah di bahagian perubatan dan perkhidmatan kesihatan,” ujarnya.

Sementara itu, Adnan meminta doktor-doktor muda yang sudah bergelar pakar di hospital kerajaan terus komited berkhidmat untuk negara setelah menyambung pengajian melalui kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

Menurut beliau, kerajaan telah mengeluarkan belanja yang banyak untuk membiayai yuran pengajian dan adalah tidak wajar sekiranya mereka menjadikan sektor kerajaan sebagai transit atau batu loncatan untuk ke sektor swasta setelah bergelar pakar.

“CUEPACS juga berharap kerajaan dapat membuka ruang untuk doktor-doktor ini boleh melanjutkan bidang kepakaran di mana-mana intitusi yang diiktiraf kerajaan tanpa hanya fokus boleh menjadi pakar jika telah berkhidmat dengan hospital kerajaan sahaja.

“Dasar sekarang telah menutup peluang doktor muda untuk menyambung bidang kepakaran jika tidak berkhidmat di sektor kerajaan dan disebabkan itulah ada desakan untuk doktor muda ini mendapat jawatan tetap bagi tujuan sambung belajar,” katanya.

Tambah beliau, dasar itu boleh diubah sebagai mana Skim Pegawai Farmasi dan Skim Pegawai Pergigian yang boleh melanjutkan pelajaran tanpa melalui Kementerian Kesihatan. -MalaysiaGazette