Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Foto MOHD ADZLAN, 21 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menjangkakan kes Covid-19 serta kadar kemasukan ke hospital menurun apabila 40 peratus populasi penduduk dewasa di negara ini lengkap divaksinasi pada bulan depan.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata, penggunaan vaksin mampu mencegah kesan teruk apabila dijangkiti virus itu.

Katanya, hasil vaksinasi juga telah mula menampakkan hasil apabila kadar kemasukan ke hospital dalam kalanga warga emas mula menurun.

“Berdasarkan data daripada Hospital Sungai Buloh, kadar kemasukan ke hospital untuk warga emas bagi kategori 4 dan 5 menunjukkan trend penurunan selaras pelaksanaan fasa kedua PICK.

“Vaksin Covid-19 sememangnya alat perlindungan penting kepada manusia dalam berdepan virus SARS-CoV-2,” katanya dalam sidang media khas.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, keraguan terhadap keberkesanan vaksin Covid-19 di negara ini juga dilihat semakin menurun berikutan ramai yang mendaftar untuk menerima suntikan.

“Mungkin ada yang tidak mahu menerima vaksin sebab ingin ambil ubat yang lain-lain tetapi apabila diumumkan apa yang dibenarkan sekiranya lengkap vaksinasi, lebih ramai akan tampil untuk divaksinasi,” katanya.

Mengenai keperluan untuk suntikan ketiga vaksin (booster shot) di negara ini, beliau berkata perkara tersebut akan dikemaskini dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) minggu depan.

Katanya, beliau difahamkan technical working group yang dipengerusikan Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal, Institut kesihatan Negara (NIH), Dr Kalaiarasu M. Peariasamy akan membuat beberapa syor berkenaan booster shot.

Sementara itu, Khairy berkata pihaknya telah meminta Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) untuk memeriksa aspek pengudaraan di semua pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara.

Langkah itu penting untuk memastikan setiap PPV mempunyai sistem pengudaraan yang sempurna bagi membendung penularan wabak Covid-19 – MalaysiaGazette