Sekumpulan doktor kontrak berkumpul sempena Hartal Doktor Kontrak di Hospital Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 26 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – “Tidak ada isu doktor kontrak tidak berpuas hati ketika saya dan Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri,” kata Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jelas beliau, semasa pentadbirannya doktor kontrak mengetahui status mereka yang akan diserap dalam jawatan tetap.

Namun ujarnya, apa yang berlaku pada hari ini ialah apabila ketidakpuasan hati yang dizahirkan adalah berpunca daripada doktor kontrak tidak diserap dalam jawatan tetap meskipun telah lama berkhidmat.

“Tidak berbangkit semasa saya jadi PM sebab tiada isu pada waktu itu, tidak ada doktor kontrak yang mengeluh.

“Mereka boleh lihat bahawa mereka akan diserap dalam jawatan tetap. Sebab itu tidak timbul masalah masa itu, dan juga masa Najib (jadi PM),” katanya ketika sidang media yang diadakan secara maya hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berpendapat kerajaan sepatutnya memberi satu tempoh yang jelas kepada doktor kontrak untuk diserap ke jawatan tetap.

Tambah Ahli Parlimen Langkawi itu, protes yang berlaku dalam kalangan ratusan doktor kontrak hari ini jelas berpunca daripada ketidakpuasan hati kerana tidak mendapat layanan sepatutnya walaupun mereka telah lama berkhidmat.

“Apa yang menjadi masalah sekarang apabila mereka dijadikan doktor kontrak untuk satu tempoh yang lama.

“Mereka rasa tidak puas hati kerana tidak mendapat layanan yang sepatutnya. Kerajaan harus mempertimbangkan untuk memberikan satu tempoh kontrak kepada mereka, sehingga beberapa tahun,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan doktor-doktor kontrak yang mengadakan meneruskan protes terhadap keputusan kerajaan yang masih enggan menyerap mereka ke jawatan tetap.

Protes dijalankan di setiap negeri di mana doktor-doktor kontrak dilihat berjalan keluar dari hospital sebagai tanda bantahan.

Rata-rata yang mengambil bahagian dalam protes atau hartal itu berpakaian serba hitam dengan membawa plakad #hartaldoktorkontrak dan #lawantetaplawan.

Jurucakap kumpulan itu dilapor meminta kerajaan menyerap mereka ke jawatan tetap dan memberi kemudahan melanjutkan pelajaran. – MalaysiaGazette