KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat insiden pertengkaran yang membabitkan seorang penghantar makanan e-hailing dan seorang pemandu kereta di persimpangan berhampiran pusat membeli belah Suria KLCC pada petang Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, polis mendapati satu rakaman video berdurasi 50 saat menunjukkan dua orang lelaki sedang bertengkar di persimpangan lampu isyarat Persiaran KLCC.
“Polis Dang Wangi telah menjalankan siasatan berhubung video viral tersebut di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Kita terima aduan dari pengadu (pemandu kereta) berusia 31 tahun sebelum keterangan selesai diambil daripada dia dan juga suspek (penunggang e-hailing) berusia 21 tahun di IPD Dang Wangi.,” katanya.
Rakaman video tersebut memaparkan pemandu kereta berkenaan membunyikan hon apabila penghantar makanan itu tidak memberhentikan motosikalnya apabila lampu isyarat bertukar merah.
Ini menyebabkan penunggang motosikal itu memaki serta menendang pintu penumpang hadapan kereta berkenaan sebelum berulang kali memaksa pemandu itu memberhentikan kenderaannya di tepi jalan lalu mencabarnya membuat laporan polis.
Bagaimanapun pemandu kereta itu meminta pemuda tersebut mengikutnya ke balai polis jika tidak berpuas hati.
Penunggang motosikal itu yang masih tidak berpuas hati mengeluarkan kata kesat sebelum memintas kereta lelaki berkenaan dan memaksa berhenti di Persiaran KLCC.
Menurut Mohamad Zainal, kertas siasatan akan diserahkan ke Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut apabila siasatan selesai dijalankan.
Beliau menasihatkan orang awam supaya tidak menularkan video tersebut yang boleh mendatangkan kegusaran awam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. – MalaysiaGazette