PDRM logo police lockup death Benedict Thanilas
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang warga Indonesia antara tiga individu yang ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam penipuan pinjaman tidak wujud.

Mangsa mengalami kerugian sebanyak RM34,959.17 pada Ahad lalu terpedaya dengan iklan yang disiarkan oleh sindiket penipuan itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komissioner Mahidisham Ishak berkata, ketiga-tiga suspek itu diberkas dalam satu operasi yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Daerah Wangsa Maju bersama-sama Bahagian Risikan/Operasi, Jabatan Siasatan Jenayan Komersil Kuala Lumpur, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

“Suspek masing-masing berumur 30, 34 dan 36 tahun berjaya ditahan di sebuah kondominum mewah yang terletak di Jalan Sultan Ismail di sini semalam.

“Hasil pemeriksaan di dalam unit itu, polis berjaya merampas 10 unit telefon bimbit, router, modem dan buku nota yang disyaki digunakan kesemua suspek bagi melakukan aktiviti penipuan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, sindiket berkenaan sentiasa berpindah dan menukar operator bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

“Siasatan polis mendapati ketiga-tiga suspek baru bekerja selama sebulan yang lalu.

“Modus operandi sindiket berkenaan adalah membuat tawaran pinjaman menggunakan media sosial Facebook, Instagram dan WeChat sehingga terjatuh dalam jerat mereka dan mangsa yang bersetuju akan diminta untuk membayar deposit, insuran dan wang proses serta bayaran kepada beberapa akaun bank yang disediakan sindiket.

“Selepas segala pembayaran itu dibuat, mangsa gagal berhubung dengan sindiket sebelum menyedari dirinya tertipu,” katanya.

Menurut beliau, kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – MalaysiaGazette