SEOUL – Pizza untuk Itali, Drakula untuk Romania dan Chernobyl untuk Ukraine.
Ini adalah gambar dan kapsyen yang digunakan oleh penyiar Korea Selatan untuk menggambarkan negara-negara pada upacara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo.
Berikutan itu, MBC meminta maaf kerana menyinggung perasaan penonton yang mendakwa visual-visual yang dipaparkan sebagai “menyinggung” dan “tidak masuk akal”.
Bagaimanapun, saluran media itu berkata, pendekatan tersebut digunakan bagi memudahkan penonton untuk memahami negara-negara yang memasuki stadium dengan cepat.
Tetapi MBC mengakui ia adalah “kesalahan yang tidak dapat dimaafkan”.
Malah, ia akan memulakan penyelidikan bagaimana penulisan kapsyen gambar itu diputuskan.
MBC dijangka membuat penyataan maaf secara terbuka pada hari Isnin.
Wartawan bebas Raphael Rashid menarik perhatian berhubung penulisan ‘kapsyen’ yang dianggap unik itu.
Ini kerana, katanya, ketika atlet Haiti berjalan memasuki stadium, keterangan di layar menggambarkan ‘politik negara itu tidak stabil akibat pembunuhan presiden”.
Dan ketika pasukan Syria masuk, keterangan kapsyen: “Perang saudara yang telah berlangsung selama 10 tahun.”
“Apakah mereka benar-benar hanya memilih gambar di Google ketika melakukan pencarian gambar untuk negara ini?” seorang individu bertanya.
MBC pernah berdepan dengan isu sama sebelum ini.
Ia didenda setelah menggunakan kapsyen dan gambar yang serupa pada Majlis Pembukaan Sukan Olimpik Beijing 2008 dengan menyebut Zimbabwe “sebagai negara dengan inflasi paling buruk”. – MalaysiaGazette