Salahuddin Ayub
Dr Mohd Mazri Yahya.

KUALA LUMPUR – Sebuah badan bertindak reformasi kesihatan negara perlu dibentuk secepat mungkin bagi menangani masalah doktor kontrak yang sedang dihadapi ketika ini.

Pengerusi Lajnah Kesihatan Pas Pusat, Prof. Madya Dr Mohd Mazri Yahya berkata, penubuhan badan itu perlu bersifat rentas politik melibatkan semua pemegang taruh sehingga satu langkah tuntas dapat diambil bagi kebaikan perkhidmatan kesihatan negara iaitu melalui pembentukan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan.

Katanya, masalah doktor kontrak merupakan salah satu simptom kepada penyakit di dalam perkhidmatan kesihatan negara dan sekiranya satu reformasi perkhidmatan kesihatan tidak
dilakukan ia akan terus membarah sehingga ia tidak dapat diperbaiki.

“Pas percaya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mempunyai kerangka rancangannya yang tersendiri, namun reformasi kesihatan yang menyeluruh tidak dapat dilakukan tanpa
penglibatan jabatan-jabatan dan kementerian-kementerian lain.

“Pada masa yang sama segala input dari semua pemegang taruh termasuk rakyat dan rentas parti politik perlu diambil kira.

“Kerajaan perlu serius di dalam melakukan reformasi kesihatan ini dan ianya tidak boleh dibatasi oleh janji-janji manifesto pilihan raya yang tidak ditunaikan.

“Justeru Pas merasakan perlu bagi kerajaan membentuk segera satu Badan Bertindak Reformasi Kesihatan Negara bagi menghasilkan blueprint perkhidmatan kesihatan untuk dekad- dekad yang akan datang.

“Pas merasakan sudah sampai masanya perkhidmatan kesihatan berada di bawah Suruhanjaya Perkhidmatannya sendiri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Mazri berkata, Pas memahami masalah penjawatan memerlukan penelitian yang lebih terperinci walaupun ia merupakan tuntutan utama doktor-doktor kontrak sehingga Hartal Doktor Kontrak diadakan pada semalam.

Bagaimapana kata beliau, Pas tetap merasakan ianya adalah umpama simptom-simptom kepada penyakit kronik tersebut.

Walaupun Pas tidak bersetuju hartal tersebut dilakukan pada ketika Pandemik Covid-19 memuncak namun Pas merasakan mereka yang terlibat tidak wajar dihukum sebaliknya, keluhan
mereka perlu didengari dan simptom tersebut perlu diperhati.

“Sekiranya kajian yang terperinci tidak dijalankan dan kita hanya merawat simptom sahaja, maka penyakit akan bertambah parah dan rangkaian simptom-simptom baru akan mula
wujud sehingga penyakit langsung tidak dapat diubati,” tambahnya. – MalaysiaGazette