KUALA LUMPUR – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan penundaan perlawanan Liga Super melibatkan pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA) dan pasukan Liga Premier, Kuching City FC (KCFC) susulan arahan kuarantin terhadap pasukan berkenaan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, keputusan untuk menunda perlawanan selepas mendapati beberapa pemain serta pegawai daripada KDA dan KCFC telah dikesan positif wabak Covid-19 menerusi ujian PCR sebelum hari perlawanan minggu lalu.
Bagaimanapun, Ghani mengesahkan bahawa MFL telah membuat permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) agar hanya pegawai dan pemain yang positif COVID-19 sahaja dikuarantin.
“Permohonan untuk mengkaji semula Prosedur Standard Operasi (SOP) Penganjuran Liga Malaysia telah dihantar melalui KBS untuk pertimbangan KKM dan MKN.
“MFL telah mengusulkan agar hanya pegawai dan pemain yang positif COVID-19 sahaja dikuarantin manakala pegawai dan pemain yang disahkan negatif dibenarkan untuk berlatih dalam pada yang sama meneruskan perlawanan liga seperti yang dijadualkan.
“Sekiranya permohonan ini diterima, pihak MFL boleh menilai semula penundaan jadual KDA dan KCFC ini. Maka ketika ini kami akan menunggu keputusan permohonan itu sebelum mengumumkan jadual baharu pindaan perlawanan melibatkan dua pasukan berkenaan.
“Saya percaya pihak MKN dan KKM dapat memberikan pertimbangan sewajarnya permohonan itu memandangkan kes yang berlaku setakat ini adalah kecil dan berjaya dikawal dengan ujian pengesanan awal dan SOP ketat Gelembung Sukan bagi Liga Malaysia.
“Jika kita melihat kepada penganjuran liga bola sepak di luar negara seperti di EPL England, LaLiga Sepanyol, Serie A Itali serta baru-baru ini di Euro 2020 dan kejohanan yang dianjurkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), kuarantin hanya dikenakan kepada pemain yang positif sahaja manakala pemain lain dibenarkan untuk meneruskan latihan dan bermain,” katanya dalam satu kenyataan di sini. – MalaysiaGazette