KUALA LUMPUR – Keluaran Dalam Negeri Kasar Malaysia pada harga semasa merekodkan penyusutan 6.4 peratus (2019: 4.5%) pada tahun 2020 yang membawa kepada penurunan kesemua komponen pendapatan.

Pampasan pekerja (PP) yang terdiri daripada gaji yang dibayar kepada pekerja merosot 3.0 peratus pada tahun 2020, penurunan kali pertama sejak siri masa
direkodkan mulai 2005.

Walaupun begitu, sumbangan PP kepada keseluruhan ekonomi meningkat kepada 37.2 peratus (2019: 35.9%) disumbangkan oleh penurunan dalam Lebihan Kendalian Kasar (LKK) pada tahun 2020.

LKK yang terdiri daripada keuntungan yang diperoleh oleh firma, merosot 6.9 peratus disebabkan oleh pengurangan kapasiti pengeluaran.

Oleh itu, senario kemerosotan ekonomi pada tahun 2020 adalah berpunca daripada penutupan ekonomi bagi mengawal penularan wabak seperti
perintah berkurung secara penuh atau separa, peraturan penjarakan sosial, larangan perhimpunan awam dan penutupan sempadan, yang menyebabkan pergerakan individu dan operasi perniagaan yang tidak penting dihenti secara tiba-tiba”.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, PP menyusut 3.0 peratus (2019: 4.8 peratus) di mana semua sektor ekonomi menunjukkan penurunan dalam PP kecuali sektor pertanian.

Kemerosotan PP diterajui oleh sektor pembinaan dengan penyusutan 18.2 peratus (2019: 1.2%) dipengaruhi oleh penurunan dalam semua subsektor aktiviti pembinaan, diikuti oleh sektor perkhidmatan yang mana PP menyusut 1.4 peratus (2019: 5.9%) disebabkan oleh penurunan dalam subsektor perdagangan borong & runcit, makanan & minuman dan penginapan.

Sektor perlombongan & pengkuarian menguncup 15.3 peratus daripada penurunan 4.9 peratus pada tahun sebelumnya. Selain itu, PP dalam sektor
Pembuatan mencatatkan penurunan marginal iaitu negatif 0.8 peratus (2019: 4.1%) dipengaruhi oleh prestasi yang lebih perlahan bagi produk Elektrik, elektronik & optikal.

Sebaliknya, PP untuk sektor pertanian mencatatkan pertumbuhan 2.7 peratus (2019: 0.1%) dipacu terutamanya oleh PP dalam aktiviti kelapa sawit dan ternakan.

Dari segi sumbangan, PP bagi sektor perkhidmatan merupakan pemyumbang terbesar bagi keseluruhan PP Malaysia, dengan sumbangan 63.5 peratus pada tahun 2020.

Sumbangan PP dalam sektor pembuatan adalah sebanyak 22.6 peratus diikuti oleh sektor pembinaan dan pertanian dengan masing-masing menyumbang
7.9 peratus dan 4.1 peratus.

Bagi sektor selebihnya, perlombongan & pengkuarian menyumbang 1.9 peratus kepada keseluruhan PP pada tahun 2020, sambil menambah, prestasi ekonomi Malaysia kurang memberangsangkan pada tahun 2020 dapat dilihat dalam prestasi LKK.

LKK merosot 6.9 peratus (2019: 3.7%) yang mana terendah selepas tahun 2009 (-12.6%).

Mohd Uzir berkata, kesemua sektor menunjukkan penurunan dalam LKK kecuali sektor pertanian.

Penyusutan LKK dipengaruhi oleh sektor Perlombongan dan pengkuarian yang mana terus merosot 28.3 peratus (2019: -3.0%) disebabkan oleh harga minyak mentah dan gas asli yang rendah.

Bagi sektor perkhidmatan, LKK menyusut 4.9 peratus (2019: 6.6%) disokong oleh aktiviti perdagangan borong & runcit, makanan & minuman dan penginapan.

Sementara itu, LKK dalam sektor pembuatan menyusut 4.4 peratus (2019: 1.5%) dipengaruhi oleh penurunan dua digit dalam produk petroleum, kimia, getah & plastik dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka.

Begitu juga, LKK dalam sektor pembinaan jatuh pada 15.7 peratus (2019: 10.4%) yang mana sebahagian besarnya dipengaruhi oleh penurunan aktiviti kejuruteraan awam yang ketara.

Namun demikian, LKK dalam sektor pertanian berkembang pada 7.3 peratus dari pertumbuhan marginal 0.9 peratus pada tahun 2019.

Pertumbuhan ini disokong oleh getah, kelapa sawit, ternakan dan pertanian lain yang disokong oleh harga komoditi yang lebih tinggi terutamanya harga kelapa sawit.

Lebihan Kendalian Kasar (LKK) menyumbang 60.1 peratus (2019: 60.4%) kepada keseluruhan ekonomi pada tahun 2020 dengan sektor perkhidmatan terus menjadi penyumbang utama kepada keseluruhan LKK dengan sumbangan 56.0 peratus.

Ini diikuti oleh sektor pembuatan pada 21.6 peratus, pertanian pada 10.5 peratus dan perlombongan & pengkuarian pada 10.0 peratus.

Sementara itu, sektor pembinaan menyumbang 1.9 peratus pada keseluruhan LKK.

Katanya, sumbangan komponen pendapatan yang paling rendah dalam KDNK kaedah pendapatan adalah cukai tolak subsidi ke atas pengeluaran dan import yang menyumbang 2.7 peratus kepada keseluruhan ekonomi.

Cukai tolak subsidi merekodkan penurunan yang ketara pada 30.4 peratus disebabkan oleh pengeluaran subsidi yang lebih tinggi dan cukai ke atas pengeluaran dan import yang lebih rendah pada tahun 2020. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast