Neha Paswan. foto Agensi

NEW DELHI – Polis sedang menyiasat 10 individu sebuah keluarga yang didakwa membunuh seorang gadis kerana ingkar memakai jeans.

Mereka yang terlibat itu merupakan datuk, nenek, pakcik, makcik, sepupu dan pemandu keluarga berkenaan.

Datuk, nenek, pakcik dan pemandu keluarga itu sudah ditahan.

Dalam kejadian minggu lalu, Neha Paswan, 17 tahun, didakwa dipukul hingga mati oleh anggota keluarganya di negeri Uttar Pradesh kerana mereka tidak suka dia memakai seluar jeans.

Ibunya, Shakuntala Devi Paswan, memberitahu, remaja itu dipukul dengan tongkat oleh datuk dan pakciknya setelah bertengkar mengenai pakaiannya di rumah mereka di kampung Savreji Kharg di daerah Deoria.

“Dia telah berpuasa sepanjang hari. Pada waktu malam, dia mengenakan jeans dan top untuk melakukan ritual agama. Namun datuk dan neneknya kurang senang dengan pakaiannya.

“Neha mempertahankan bahawa seluar jeans itu dibuat untuk dipakai dan dia akan memakainya.

“Tindakan Neha telah menyebabkan pertikaian dan dia dipukul,” kata ibunya.

Devi berkata, anaknya dibawa ke hospital selepas pengsan.

“Keluarga tidak membenarkan saya mengikut Neha menyebabkan saya meminta saudara saya pergi ke hospital untuk melihat Neha tetapi dia tidak menemuinya,” ujar beliau.

Wanita itu berkata, pada keesokan harinya, dia terdengar ada mayat seorang gadis digantung dari jambatan Sungai Gandak dan apabila penduduk melihat mayat itu, didapati ia adalah Neha.

Bapa mangsa, Amarnath Paswan, yang bekerja sebagai buruh pembinaan di Ludhiana, Punjab berkata, dia bekerja keras untuk memastikan Neha dihantar ke sekolah.

Katanya, Neha bercita-cita mahu menjadi polis.

Ibu mangsa berkata, keluarga mertuanya telah memberi tekanan kepada Neha supaya berhenti sekolah dan anaknya kerap dihina kerana tidak memakai pakaian tradisional India.

Neha, katanya, suka memakai pakaian moden.

Kejadian sedih dan ngeri yang menimpa Neha telah membuka mata banyak pihak tentang keselamatan gadis-gadis India di rumah sendiri. – MalaysiaGazette