Mohd Hairi Mad Shah

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Johor mendesak Menteri Undang-Undang, Datuk Takiyuddin Hasan menjelaskan situasi terkini penguatkuasaan Ordinan Darurat.

Perkara itu penting selepas beliau menimbulkan pelbagai persoalan dan rasa tidak senang rakyat dengan kenyataan diberikan berhubung pembatalan ordinan itu dalam Mesyuarat Khas Parlimen, semalam, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor Bahru, Mohd Hairi Mad Shah.

Menurutnya, pihaknya tidak memahami tujuan menteri berkenaan menyatakan sedemikian yang akhirnya mengundang pelbagai persoalan, kekeliruan dan curiga serta turut dikecam hebat warganet termasuk pengamal undang-undang yang menyifatkan ia sebagai satu ‘penghinaan’ dan ‘pencabulan’ terhadap Parlimen serta rakyat secara keseluruhan.

“Persoalan paling utama daripada kenyataan Menteri Undang-Undang ini, apakah yang berlaku dengan keputusan atau penguatkuasaan yang dibuat berdasarkan Ordinan Darurat selepas tarikh backdated pembatalan itu pada 21 Julai lalu?

“Ini memberi satu implikasi perundangan yang besar dan mana mungkin kerajaan tidak sedar perkara ini..ini bukan satu perkara yang boleh dibuat main sesuka hati,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Hairi berkata, UMNO tidak mempersoalkan mengapa Ordinan Darurat itu dibatalkan malah Pergerakan Pemuda UMNO Johor bersetuju dan menyambut baik pembatalannya namun ia mestilah dengan cara yang betul dan dimaklumkan secara rasmi kepada semua pihak sebelum pengumuman seperti itu dibuat.

Katanya, apa yang paling utama, pembatalan Ordinan Darurat itu memberikan gambaran atau penjelasan bahawa Pengisytiharan Darurat sejak 13 Januari lalu sehingga bakal tamat beberapa hari lagi adalah gagal dan tidak memberi sebarang impak terutama dalam menentang pandemik Covid-19.

“Contoh paling jelas, ketika dalam tempoh darurat bilangan kes tidak menunjukkan penurunan langsung, malah meningkat secara mendadak sehingga mencecah hampir 18,000 kes sehari, berbanding dengan tempoh sebelum darurat dilaksanakan.

“Ini satu contoh jelas dan mudah darurat bukan satu langkah terbaik mengawal jangkitan Covid-19,” ujarnya.

Kedua kata beliau, dengan adanya darurat dan kuasa diberikan kerajaan seharusnya dapat bertindak lebih menyeluruh dengan mempergiat proses pemberian vaksin.

Malah beliau menambah, dalam tempoh darurat juga boleh mengarahkan mana-mana hospital, klinik swasta atau premis perubatan bukan kerajaan untuk dijadikan fasiliti kerajaan selain turut sama membantu mempercepatkan proses pemberian vaksin.

Walaupun dengan darurat katanya, kerajaan masih takut mengarahkan penutupan kilang besar, mengarahkan bank membantu rakyat dengan memberikan moratorium tanpa syarat selain menyediakan kemudahan lain bagi meringankan peminjam, tidak ada melainkan didesak oleh pemimpin politik atau netizen di media sosial.

“Ternyata pengiystiharan darurat ini tidak langsung memberi kelebihan pada mana-mana pihak, tetapi beri mudarat kepada rakyat dan ekonomi secara keseluruhannya di negara ini. Melainkan ia memberi kelebihan dan ‘nyawa’ kepada pihak eksekutif untuk terus ‘bernafas’ dan mengambil gaji mereka yang lumayan.

“Pergerakan Pemuda UMNO sekali lagi menegaskan untuk seiring dengan keputusan dan pendirian Majlis Tertinggi UMNO yang sejak dari awal membantah dan tidak pernah bersetuju dengan Proklamasi Darurat sehingga mendesak Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja untuk campur tangan dalam isu ini,” katanya. – MalaysiaGazette