KUALA LUMPUR – Dasar pembelian vaksin COVID-19 bagi suntikan tambahan atau booster, akan ditentukan dan diumumkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin hari ini.
Khairy berkata dasar tersebut berkemungkinan diumumkan dalam Belanjawan 2022 yang akan dibentang pada 29 Okt nanti.
“Tapi saya yakin kita akan dapat suntikan tambahan kepada sebahagian besar rakyat Malaysia secara percuma dalam program PICK yang berterusan,” katanya ketika sesi penggulungan pembentangan Program Vaksinasi di Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Khairy berkata, syor pakar mengenai keperluan dos ‘booster’ akan diumumkan pada minggu hadapan.
Beliau berkata keputusan itu akan diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pemilihan Calon Vaksin COVID-19 Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Kalaiarasu M Periasamy.
Beliau berkata ada beberapa negara sudah mengamalkan ‘heterologous vaccination’ seperti di Jerman dan Korea Selatan berikutan gangguan bekalan vaksin.
Katanya, syor akan diterima daripada pakar berdasarkan data klinikal yang telah dikumpul di seluruh dunia dan akan mengenal pasti adakah kaedah vaksinansi ‘heterologous’ itu selamat serta suntikan ketika booster ini akan menggunakan jenis vaksin berlainan. – MalaysiaGazette