Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengambil pendekatan berhemah dan berhati-hati sebelum mengambil keputusan dalam melaksanakan perolehan terhadap vaksin Covid-19.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, langkah itu menyebabkan Malaysia dilihat sedikit lewat dalam membuat keputusan berhubung perolehan vaksin tersebut.

Katanya, keputusan melaksanakan perolehan vaksin hanya dibuat pada November tahun lalu selepas melihat data interim daripada syarikat pembekal vaksin Pfizer dan vaksin yang lain.

“Ketika itu, vaksin Pfizer baru kali pertama menjalani ujian klinikal dan masih menunggu dapatan penuh.

“Tindakan diambil Malaysia adalah berhemah dan membuat tempahan setelah puas hati dengan keputusan keberkesanan dan keputusan keselamatan vaksin itu,” katanya ketika menggulung sesi perbahasan Mesyuarat Khas di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Khairy berkata, perbelanjaan dan perjanjian yang dilaksanakan dalam perolehan vaksin dan pelaksanaan pelalian akan terus dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Ujarnya, perkara adalah untuk menjamin ketelusan dan keterbukaan program berkenaan ekoran pelaksanaan vaksinasi membabitkan peruntukan perbelanjaan yang besar kepada negara.

“Sudah pastinya, jumlah peruntukan sebanyak RM5.8 bilion ini menimbulkan persoalan tentang bagaimana wang ini telah dan akan dibelanjakan.

“Dalam prosiding PAC ini, dokumen perjanjian perolehan vaksin serta butiran perbelanjaan bagi PICK telahpun dibentangkan.

“Selain daripada PAC, pada Jumaat lepas juga, MOSTI yang diwakili oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian telah memberikan keterangan di dalam prosiding Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi,”tambahnya.

Khairy berkata, bagi memastikan ketelusan dan keterbukaan program pelalian, satu taklimat kepada semua ahli Parlimen juga diadakan pada 22 Mac lalu di Putrajaya. – MalaysiaGazette