KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Razak berhubung tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC) yang sepatutnya bermula Isnin depan telah ditangguhkan.

Ia selepas pasukan pendakwaan dan pembelaan telah memohon mahkamah tinggi menangguhkan kes berprofil tinggi itu kerana keputusan rayuan kes SRC itu masih belum diputuskan oleh mahkamah rayuan ketika ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul berkata, sepatutnya prosiding bermula 2 hingga 9 Ogos sebelum di sambung ke tahun berikutnya.

Bagaimanapun semua pihak telah memohon kepada Hakim Mahkamah Tinggi supaya ianya ditangguhkan atas alasan rayuan kes SRC International melibatkan dana RM42 juta masih belum diputuskan.

Malah ada juga kemungkinan kes ini akan berlarutan hingga ke Mahkamah Persekutuan kelak.

“Penangguhan ini juga agak munasabah memandangkan hampir kebanyakan fakta serta bukti dalam kes ini juga saling berkait dan melibatkan jejak wang sama.

“Kita juga akan minta agar kesemua tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan pada pada Mac dan April 2022 ditangguhkan,” katanya selepas prosiding pengurusan kes dalam kamar di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan hari ini.

Hakim Mohamed Zaini kemudian mengarahkan kedua-dua pihak memohon penangguhan kepada mahkamah secara bertulis.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir ke mahkamah bagi mendengar rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah atas tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta, yang digunakan untuk aktiviti tidak mengikut undang-undang, dalam tiga akaun AmPrivate Banking milik beliau.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai, 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Najib juga menghadapi tujuh pertuduhan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC iaitu tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan membabitkan dana itu. – MalaysiaGazette