Penyanyi, Siti Nordiana

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Siti Nordiana meneruskan tindakan saman terhadap lima individu selepas mereka tempoh 24 jam notis tuntutan permohonan maaf kepada mereka yang didakwa memfitnahnya pada sesi siaran langsung Instagram (IG) tidak dibalas.

Siti Nordiana atau mesra disapa Nana berkata, saman ke atas lima individu terbabit akan difailkan selewat-lewatnya pada Isnin ini.

“Berikutan tiada permohonan maaf (daripada lima individu terbabit) selepas tamatnya tempoh 24 jam, saya sudah mengarahkan peguam meneruskan tindakan saman terhadap mereka.

“Nana terpaksa mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan nama dan imej yang tercalar akibat kenyataan sedemikian, sama ada secara langsung atau sebaliknya akibat sesi siaran langsung IG itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Peguam dilantik Siti Nordiana, Abang Azlan Abang Ariffin, dilaporkan berkata, notis tuntutan permohonan maaf secara terbuka sudah dihantar kepada lima individu terbabit melalui e-mel dan serahan tangan.

Pada sidang media Jumaat lalu, Siti Nordiana memaklumkan membuat laporan polis terhadap lima individu yang didakwa memfitnahnya menerusi sesi siaran langsung IG, baru-baru ini.

Siti Nordiana membuat laporan polis itu bersama Abang Azlan dari Abang Azlan & Associates di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini, pada jam 9.42 pagi, Jumaat lalu.

Lima individu terbabit adalah penyanyi Lan Solo dan isterinya, Sheila Razlan; penyanyi Syura Badron, Pegawai Perhubungan Awam FMC Sam Samin serta jurusolek, Aida G. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast