Pengenalan

MAK, kawan ketawakan saya sebab gigi taring atas saya tak ada!! Ini adalah antara kisah yang berlaku kepada pesakit di mana gigi taring atas masih tidak tumbuh meskipun sudah berumur 15 tahun! Gigi taring atau lebih dikenali sebagai gigi kanin merupakan gigi kekal yang paling lambat tumbuh di dalam mulut selepas gigi geraham ketiga. Ia mempunyai akar yang panjang dan adalah penyokong tulang yang baik.

Malah, ia dianggap sebagai antara struktur utama asas rahang atas. Gigi taring atas memainkan peranan penting dalam aspek fungsi oklusi, secara spesifiknya untuk mengoyak makanan. Disebabkan bentuk dan posisinya yang unik, ia juga boleh mempengaruhi kecantikan senyuman. Secara umumnya, gigi taring bagi rahang atas akan tumbuh di dalam mulut pada lingkungan umur 10 hingga 13 tahun. Gigi taring rahang atas yang sedang tumbuh sepatutnya boleh dirasa di kawasan sulkus gusi depan dari umur 9 hingga 10 tahun. Pertumbuhan gigi taring rahang atas setelah berumur 12.3 tahun pada kanak-kanak perempuan dan 13.1 tahun pada kanak-kanak lelaki boleh dianggap lewat.

Gigi taring terimpak dan ektopik

Gigi yang terimpak boleh didefinisikan sebagai kegagalan gigi untuk tumbuh dalam masa yang ditentukan. Ia dicegah daripada tumbuh ke posisi fungsi normal, sama ada oleh tulang, gigi atau tisu berserabut (fibrous tissue). Gigi taring adalah gigi kedua yang paling kerap terimpak selepas gigi geraham ketiga. Kekerapan berlakunya gigi taring atas terimpak adalah di lingkungan antara 0.8% hingga 5.2% di dalam populasi.

Gigi terimpak boleh terjadi akibat pertumbuhan gigi taring ektopik palatal (TEP). Gigi taring dianggap ektopik sekiranya ia terpindah dari kedudukan normalnya di dalam rahang. Gangguan
perkembangan gigi taring ektopik rahang atas ini berlaku paling kerap di bahagian lelangit (palatal) dengan kekerapan sebanyak 61%. Sementara itu, 16% berada di posisi arkus rahang dan 2.3% di posisi bahagian bukal (di depan rahang). TEP didapati dua kali ganda lebih biasa berlaku pada kanak-kanak perempuan. Dalam kira-kira 8% hingga 10% kes, gigi taring atas terimpak terjadi pada kedua-dua belah rahang atas iaitu kiri dan kanan. Sehingga kini, tiada data yang mencukupi mengenai kelaziman (prevalence) gigi taring yang terimpak di dalam populasi penduduk Malaysia.

Punca Gigi Taring Tidak Tumbuh

Gigi taring rahang atas mempunyai laluan pengeruptan yang panjang untuk sampai ke kaviti mulut. Tempoh pertumbuhannya juga paling panjang. Punca terjadinya gigi taring rahang atas ektopik masih belum jelas. Walaubagaimanapun, menurut kajian, terdapat beberapa faktor penyumbang telah dikenalpasti dan dikategorikan sebagai faktor umum dan faktor lokal.

Faktor umum

Faktor umum adalah seperti masalah genetik atau penyakit sistemik, termasuk gangguan endokrin yang akan menganggu tumbesaran gigi. Gangguan endokrin ialah penyakit yang berkaitan dengan kelenjar endokrin badan yang menghasilkan hormon. Hormon membantu tubuh mengatur proses badan termasuk kesihatan tulang dan gigi. Gangguan endokrin yang mungkin mengganggu pertumbuhan gigi termasuk penyakit kelenjar pituitari yang disebabkan oleh gangguan hormon
pertumbuhan berlebihan (gigantism) atau berkurangan (hypopituitarism), gangguan kelenjar paratiroid (hyperparathyroidism or hypoparathyroidism) dengan keabnormalan kalsium serum dan gangguan kelenjar tiroid yang mengakibatkan hormon tiroid berlebihan (hyperthyoidism- Graves
disease) atau berkurangan (hypothyrodisim- juvenile cretinism).

Faktor lokal

Faktor lokal lebih kerap mengakibatkan gigi taring rahang atas terimpak. Antaranya ialah perbezaan antara saiz gigi dan panjang arkus rahang. Jika pesakit mempunyai arkus rahang yang kecil maka gigi taring kekal tidak cukup ruang untuk tumbuh ke kaviti mulut secara keseluruhan kerana tempoh pertumbuhannya yang panjang . Kesesakan gigi juga boleh mengakibatkan gigi taring tidak tumbuh dan terimpak di dalam tulang rahang.

Dalam keadaan biasa, gigi susu akan tercabut dengan sendirinya dan diganti oleh gigi kekal. Walau bagaimanapun terdapat keadaan di mana gigi taring susu gagal tertanggal pada masanya. Ini juga merupakan salah satu faktor lokal yang mengakibatkan gigi taring rahang atas menjadi terimpak. Namun, kehilangan gigi taring susu yang terlalu awal juga menyumbang kepada gigi taring kekal tumbuh ektopik dari tempat asalnya.

Ini adalah kerana gigi taring kekal memerlukan gigi susu sebagai panduan untuk tumbuh. Kehilangan awal gigi susu mengakibatkan gigi taring kekal hilang panduan tersebut.
Gigi incisal lateral adalah gigi yang bersebelahan dengan gigi taring. Jika gigi lateral berbentuk tidak normal iaitu bentuk pasak (peg-shaped), kemungkinan gigi taring kekal juga akan gagal tumbuh ke kedudukan asalnya akibat faktor genetik. Faktor-faktor lain seperti gusi yang terlampau tebal dan kedudukan germa gigi (tooth bud) yang tidak normal boleh menggagalkan pertumbuhan atau menyesarkan pertumbuhan gigi dari laluan asal. Kecederaan pada gigi susu juga boleh menyebabkan akar atau korona germa gigi kekal mengalami kecederaan (root and/ or crown dilaceration).

Posisi gigi kekal juga boleh tersasar di dalam gusi atau terimpak. Trauma ke atas gigi susu atau rahang mungkin menyebabkan gangguan pada perkembangan gigi kekal menyebabkan akar gigi kekal berhenti berkembang atau mengalami kecederaan yang dipanggil ‘ankylosis.’ Ankylosis atau dikenali juga sebagai percantuman tulang rahang dengan akar gigi, akan menghalang gigi dari tumbuh seterusnya menyebabkan ia terimpak dalam tulang rahang.

Sesetengah pesakit tiada gigi taring disebabkan mereka mempunyai masalah sumbing bibir atau lelangit (cleft lip and palate). Sumbing bibir dan lelangit merupakan salah satu kecacatan sejak lahir yang berlaku apabila mulut dan lelangit bayi tidak terbentuk dengan sempurna ketika bayi di dalam rahim. Pesakit yang mempunyai masalah ini secara umumnya perlu menerima rawatan kompleks dari pelbagai disiplin di hospital pakar dan bukan sekadar rawatan pergigian sahaja.

Pembentukan sista atau ketumbuhan (tumor) juga merupakan salah satu faktor penyumbang kepada kegagalan gigi taring kekal tumbuh. Sista dentigerous merupakan sista pergigian (odontogenik) yang mempunyai kantung berisi cecair yang berkembang di dalam tulang rahang dan gusi. Ia terbentuk di bahagian atas gigi yang terimpak, biasanya melibatkan salah satu gigi geraham atau gigi taring.

Pengesanan dan Rawatan

Pengesanan awal pengeruptan gigi taring dengan pemeriksaan dan palpasi dari umur 9 ke 10 tahun adalah sangat penting. Pesakit yang mempunyai sejarah kecederaan pada gigi susu rahang atas, kebiasaannya diberikan pemerhatian secara klinikal dan radiografi, supaya keadaan gigi kekal dapat dikenalpasti. Prognosis dan rawatan pada gigi kekal adalah bergantung kepada analisis dan penemuan dari kedua-dua aspek tersebut, tahap pembentukan gigi kekal (usia pesakit), dan tahap trauma pergigian.

Prosedur pencegahan (interceptive procedure) iaitu cabutan gigi susu pada umur dan kes yang sesuai, dapat mengelakkan rawatan pergigian yang lebih kompleks. Terdapat juga kes di mana gigi terimpak lebih sesuai dibiarkan sahaja. Kes sebegini walaubagaimanapun, memerlukan pemerhatian setiap 2 kali setahun untuk memastikan tiada pembentukan patologi. Sesetengah gigi yang dibiarkan terimpak di dalam rahang dikhuatiri membentuk sista atau menyebabkan akar gigi berdekatan mengalami kecederaan (root resorption).

Rawatan ortodontik diperlukan jika melibatkan pembukaan ruang supaya gigi taring dapat tumbuh, dan seterusnya penyusunan gigi. Adakalanya gigi taring perlu ditarik ke ruang tersebut dengan bantuan rantas emas (gold chain) dan melibatkan pembedahan kecil. Tempoh rawatan yang sebegini adalah agak panjang. Dalam sesetengah kes pula, adalah lebih baik gigi taring tersebut dibuang sahaja secara pembedahan. Ruang akan ditutup dengan rawatan ortodontik jika perlu.

Terdapat juga  pendekatan yang kurang popular di mana gigi terimpak dipindahkan secara pembedahan (transplant).
Secara kesimpulan, pilihan rawatan adalah bergantung kepada umur pesakit, kesesakan gigi, kedudukan gigi terimpak sama ada terlalu jauh dari kedudukan asal dan juga sama ada kedudukan
gigi taring dalam keadaan tegak (vertical) atau melintang (horizontal) dan kehadiran patologi. Tahap kebersihan mulut pesakit, kerjasama, motivasi dan kesesuaian pembedahan juga perlu diambilkira.

Dr. John Chong Keat Hon
Pakar Bedah Mulut dan Maksilofasial,
Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia
dan
Dr. Diana binti Md Zahid
Pakar Ortodontik,
Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast