Akhbar lama antara bahan yang boleh dikitar semula. Gambar hiasan

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan semula oleh Kerajaan susulan peningkatan ketara kes jangkitan Covid-19 membuatkan rakyat perlu ‘berkurung’ sekali lagi di rumah. Memandangkan tempoh berada di rumah lebih panjang, dapat dilihat penjanaan sisa pepejal yang merangkumi barang boleh kitar semula, sisa makanan dan sebagainya lebih tinggi datangnya dari kawasan kediaman dan perumahan.

Menurut laman sesawang Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, barang boleh kitar semula dengan anggaran bernilai RM476 juta dibuang ke tapak pelupusan sampah di Malaysia dan dijangka akan meningkat jumlahnya sekiranya sampah kitar semula ini tidak diurus dengan baik. Bukan sahaja sampah kitar semula, sisa pepejal yang tidak diurus dengan teratur turut mencemarkan alam sekitar dan mendatangkan kesan kepada masalah kesihatan. Masalah kesihatan yang berbahaya seperti kes Sungai Kim-Kim di Johor yang ingin kita elakkan berlaku kerana ia akan memburukkan lagi situasi negara yang sedang bergelut memerangi pandemik Covid-19.

Pembudayaan mengurus sisa untuk kitar semula ini lebih berkesan apabila ia bermula di rumah individu itu sendiri dan tempoh masa yang panjang bersama keluarga kerana PKP ini merupaka masa terbaik untuk memulakannya. Penulis sendiri membudayakan aktiviti kitar semula di rumah bersama ahli keluarga dan caranya sangat mudah dan tidak perlu mengeluarkan wang belanja. Jenis sisa utama yang biasa kita hasilkan di rumah adalah terdiri dari kertas, plastik, tin aluminium dan minyak masak.

Apa yang penulis lakukan ialah menyediakan beberapa bekas simpanan atau kotak terpakai yang agak besar untuk mengumpul sisa yang telah dibersihkan terlebih dahulu dan kemudiannya dikumpul dan disimpan secara berasingan mengikut jenis bagi mengekalkan kebersihan di dalam dan luar rumah. Setelah penuh, bekas pengumpulan sisa dibungkus kemas dan sedia di hantar ke pusat kitar semula.

Aktiviti kitar semula di rumah sebenarnya sesuatu yang boleh menimbulkan keseronokan dalam kalangan ahli keluarga kerana berdasarkan pengalaman penulis sendiri, anak-anak amat gembira melakukan aktiviti kitar semula di rumah dan mereka boleh melakukan aktiviti ini tanpa disuruh. Apabila ia satu aktiviti yang rutin, ahli keluarga akan mempunyai kesedaran sendiri dan rasa tanggungjawab apa yang perlu dilakukan untuk mengurus sisa secara baik untuk manfaat alam sekitar.

Keseronokan yang wujud dalam kalangan ahli keluarga secara tidak langsung mengurangkan tekanan bekerja dari rumah (BDR) dan mengurus Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR). Penulis berpendapat aktiviti kitar semula di rumah boleh menjadi satu kaedah terapi yang lestari dan dijadikan sebagai salah satu penawar kepada masalah tekanan yang dihadapi sebahagian masyarakat kini.

Menerusi amalan kitar semula, tanpa disedari juga kita telah memupuk amalan memberi dalam kalangan masyarakat. Misalnya, jika sebelum PKP penulis menghantar barangan boleh kitar ke pusat kitar semula untuk dijual. Barangan terpakai yang paling tinggi kadar jualannya ialah minyak masak terpakai dengan anggaran harga RM1 bagi 1kg. Namun disebabkan PKP, barangan kitar semula diberikan sahaja kepada pekerja pembersihan yang bertugas di sekitar kawasan rumah. Oleh itu, sumbangan kecil berbentuk barangan kitar semula ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka untuk dijual semula atau sebagainya.

Aktiviti kitar semula di rumah merupakan salah satu usaha untuk menjaga alam sekitar menerusi pengurusan sisa yang teratur di punca. Amalan murni ini seharusnya menjadi budaya dalam kalangan masyarakat bagi mengekalkan kebersihan dan kehidupan yang sihat khususnya pada musim pandemik.

Oleh : Hafizah Marzuki
Juruaudit Kanan, Bahagian Audit Dalam di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).