KUALA LUMPUR – Tergamak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menghina Yang di-Pertuan Agong apabila mengumumkan darurat telah tamat pada 21 Julai lalu.
Tindakan itu, menyebabkan baginda secara terbuka melahirkan rasa dukacita dalam kenyataan yang dimuatnaik menerusi akaun Facebook rasmi Istana Negara hari ini.
Menurut Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali, perbuatan itu amat memalukan rakyat dan negara kerana baginda bukan sahaja belum memberi perkenan malah mahu perkara itu dibahas di Dewan Rakyat.
“Namun, titah itu bukan sahaja tidak dipatuhi, malah pada hari pertama sidang Dewan Rakyat, Takiyuddin membuat kejutan memaklumkan Ordinan Darurat sudah ditamatkan pada 21 Julai lagi.
“Peristiwa hitam ini belum pernah berlaku dalam sejarah Parlimen Malaysia sejak merdeka, apabila kerajaan memperlekehkan ketua dan paying negara serta ingkar kepada Keluhuran Undang-Undang.
“Tidak ada kata untuk diucapkan bagi rakyat yang taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu serta menjunjung prinsip demokrasi dan Raja Berperlembagaan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Ibrahim berkata, Perdana Menteri kelapan itu wajib meletakkan jawatan segera sebelum rakyat bangkit dengan kata dua.
Kata beliau, peletakan jawatan Perdana Menteri bermakna semua anggota Kabinet terbubar kerana mereka turut bertanggungjawab.
Menurutnya, Putra bersuara dengan jelas dan tegas kerana menjunjung Keluhuran Undang-undang dan Perlembagaan Negara, bukan kerana politik demi menjunjung maruah raja disinggah sana.
“Bahkan, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun juga turut bertanggungjawab dan sebagai pengamal undang-undang yang arif dengan Perlembagaan Negara wajib juga menentukan sikap peranannya dengan betul atau mengundur diri secara terhormat.
“Putra berdoa dan berharap Yang di-Pertuan Agong bersama Majlis Raja-Raja Melayu akan bertindak sewajarnya dalam mengembalikan institusi serta pemerintahan negara yang beradab, efisen, bersih dan berintegriti.
Sementara itu Ketua Wira Putra Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, melihat dari segi moralnya, kemurkaan baginda dalam kenyataannya menzahirkan maksud amat kecewa dengan kerajaan pimpinan Muhyiddin.
Beliau menjelaskan, istana mula hilang kepercayaan apabila Takiyuddin dan Peguam Negara cuba memanipulasi serta membuat keputusan mendahului dan melangkaui bidang kuasa baginda.
“Kegagalan ini amat serius dan memudaratkan demokrasi berparlimen. Justeru, kita minta Muhyiddin meletakkan jawatan dan bertanggungjawab di atas kegagalan mengurus Kabinet seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Peletakan jawatan ini bagi memberi laluan kepada pemimpin yang lebih berkaliber dan berwibawa mengambil alih tampuk kepimpinan negara bagi menyelesaikan masalah penularan wabak Covid-19, ekonomi dan kebajikan rakyat serta ketidakstabilan politik.
“Kegagalan Muhyiddin dan Kabinetnya juga menaikkan amarah rakyat yang telah merasakan dikhianati dan dibohongi sepanjang tempoh Persidangan Khas Parlimen yang berlangsung Isnin lalu,” ujarnya. – MalaysiaGazette