BANGI – Penyelidik di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), yang diketuai oleh Ts. Dr. Nahrul Hayawin Zainal, telah mencipta teknologi untuk merawat sisa akhir efluen kelapa sawit (POME) dengan menggunakan biojisim tempurung kelapa sawit.
Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, teknologi itu, yang dikenali Karbon Teraktif Tempurung Kelapa Sawit untuk Rawatan Sisa Air adalah penyatuan proses biologi dengan karbon teraktif untuk merawat sisa akhir efluen kelapa sawit (rawatan tertiari) sebelum dilepaskan ke persekitaran.
Biojisim tempurung kelapa sawit digunakan sebagai sumber untuk penghasilan karbon teraktif kerana mempunyai ciri-ciri ketumpatan dan karbon yang tinggi serta kandungan abu yang rendah.
“Oleh kerana biojiisim tempurung kelapa sawit dihasilkan dengan banyak di kilang kelapa sawit, maka kos pengeluaran untuk teknologi ini adalah rendah jika dihasilkan oleh kilang sawit. Prototaip teknologi ini telah diuji di lapangan dan terbukti berkesan,” kata Dr Ahmad Parveez.
Katanya, penyelidik MPOB mula menjalankan kajian pada tahun 2019 dan telah melancarkan teknologi tersebut di Seminar dan Pameran Pemindahan Teknologi (TOT) MPOB 2021 baru-baru ini.
Bahan buangan POME mengandungi campuran air sisa minyak, zarah tanah dan pepejal terampai yang berwarna coklat kehitaman.
Kilang-kilang kelapa sawit perlu merawat POME untuk pemuliharaan alam sekitar dan mematuhi peraturan ketat oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), dan syarat pelesenan MPOB, katanya.
Ahmad Parveez berkata, teknologi untuk merawat POME adalah mesra alam kerana tiada bahan kimia yang digunakan semasa proses rawatan. Pengaktifan secara stim digunakan bagi penghasilan karbon teraktif, dan mikrob yang berkesan digunakan ketika proses biologi semasa rawatan tertiari.
Pembuangan akhir sisa efluen POME yang dirawat dapat digunakan sebagai air kitar semula, dan karbon teraktif yang telah digunakan boleh dijadikan sebagai baja organik untuk tanaman sayur-sayuran.
Kajian mendapati baja organik ini kaya dengan unsur-unsur nitrogen, fosforus, dan kalium hasil dari penjerapan sisa akhir efluen POME.
“Teknologi ini sangat lestari dalam aspek ekonomi, proses dan persekitaran,” katanya.
Sebagai pelengkap kepada teknologi ini, MPOB telah membangunkan sistem pengaktifan karbonisasi secara dua-dalam-satu untuk menghasilkan karbon teraktif secara lestari tunggal, berbanding pembakaran dan pengaktifan secara berasingan dalam sistem konvensional.
Teknologi secara dua-dalam-satu ini lebih mudah digunakan berbanding sistem pembakaran secara konvensional.
Proses pembakaran secara dua-dalam-satu ini juga dapat mengurangkan kos pengeluaran, tenaga, dan masa tanpa menjejaskan hasil dan kualiti karbon teraktif yang dihasilkan sekali gus menghindari penggunaan bahan kimia ketika proses pengaktifan.
“Sistem pengaktifan karbonisasi secara dua-dalam-satu ini dapat diguna pakai oleh sektor pengilangan sawit dan menyedia peluang perniagaan kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS),” tambahnya. – MalaysiaGazette