TOKYO – Satu hari lagi episod mengecewakan buat kontinjen Malaysia dalam usaha meraih pingat emas sulung negara pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, yang memasuki hari kelapan hari ini.
Selepas perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang diletakkan harapan menyumbangkan pingat emas pertama itu terkandas di pusingan 16 terbaik semalam, kini tiba giliran beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik, pula kecundang di peringkat separuh akhir, malam tadi.
Aksi tangkas regu lelaki negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik ketika menentang regu lelaki dari China Li Jun Hui dan Liu Yu Chen di pusingan separuh akhir pada Temasya Olimpik Tokyo 2020 di Mushashino Sports Plaza.
Harapan rakyat Malaysia untuk melihat pasangan muda negara itu membuat kejutan mara ke final sekali gus berpeluang meraih pingat emas, tidak kesampaian apabila mereka tumpas kepada pasangan dari China Li Jun Hui-Liu Yu Chen 22-24, 13-21 di Musashino Forest Sport Plaza.
Sebelum ini, beregu lelaki negara itu mengejutkan pilihan utama Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon dari Indonesia 21-14, 21-17 untuk mara ke separuh akhir.
Namun, Aaron-Wooi Yik berpeluang menebus kekecewaan itu sekali gus menyumbangkan pingat pertama buat negara apabila turun berdepan gandingan Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia pada perlawanan penentuan pingat gangsa, petang esok.
Sementara itu, nasib berbeza buat dua penerjun negara di Pusat Akuatik Tokyo hari ini apabila Nur Dhabitah Sabri mengesahkan slot ke peringkat separuh akhir manakala Ng Yan Yee terkandas di pusingan kelayakan acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita.
Nur Dhabitah, 22, bermula dengan bergaya apabila menduduki ranking ketiga selepas tamat pusingan pertama dengan 67.50 mata, sebelum kedudukan mula merosot namun berjaya menamatkan saingan di tempat ke-10 dengan mengumpul 291.60 mata.
Sementara, Yan Yee terlepas peluang ke separuh akhir apabila menamatkan saingan di tempat ke-20 dengan mengumpul 251.95 mata.
Hanya 18 penerjun terbaik daripada 27 peserta di pusingan kelayakan mara ke peringkat separuh akhir yang dijadual berlangsung pada Sabtu, 3 petang waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia). Hanya 12 penerjun terbaik layak beraksi di final pada Ahad.
Di Stadium Olimpik Tokyo pagi ini, pelari pecut wanita negara, Azreen Nabila Alias mencuri tumpuan peminat sukan tanah air apabila mara ke pusingan pertama acara 100 meter, selepas menamatkan saingan di tempat kedua dalam saingan kelayakan acara berkenaan.
Lebih membanggakan, pelari kelahiran Terengganu itu yang kali pertama beraksi di pentas Olimpik, turut memperbaharui rekod peribadi terbaiknya apabila mencatat masa 11.77s dalam saringan kedua acara berkenaan.
Catatan peribadi terbaik atlet berusia 21 tahun itu, yang meraih tiket ‘wild card’ di temasya Sukan Olimpik Tokyo adalah 11.91s, yang dicipta semasa Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak.
Pada saringan keenam pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Olimpik Tokyo itu, Azreen Nabila, bagaimanapun menamatkan cabaran di tempat ketujuh dengan masa 11.91s, sekali gus gagal layak ke separuh akhir.
Sementara itu, nasib malang menimpa jaguh lompat tinggi negara Lee Hup Wei pada penampilan ketiganya di pentas Olimpik,
Pada saingan berlangsung pagi tadi, atlet kelahiran Kajang, Selangor itu yang mempunyai catatan peribadi terbaik 2.29 meter (m), gagal melepasi ketinggian pertama 2.17 meter (m) dalam ketiga-tiga percubaannya pada pusingan kelayakan tersebut.
Di Enoshima Yacht Harbour, pengalaman terus memisahkan gandingan pelayar negara Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali dengan jaguh handalan dunia pada hari ketiga acara International 470 Wanita, hari ini.
Selepas enam perlumbaan, Nuraisyah-Juni Karimah berada di ranking ke-20 daripada 21 peserta dengan mengumpul 91 mata bersih dengan baki dua hari perlumbaan selepas ini yang akan bersambung pada Ahad.
Pelayar wanita negara Nur Shazrin Mohamad Latif pula boleh menarik nafas lega selepas berjaya memperbaiki pencapaiannya dalam acara Laser Radial Wanita pada penampilan keduanya di temasya Olimpik.
Pada aksi hari ini, Nur Shazrin menamatkan dua perlumbaan terakhir masing-masing di tempat ke-16 dan ke-15 sekali gus menutup saingan di tempat ke-26 daripada 44 peserta dengan mengumpul 194 mata bersih selepas 10 perlumbaan.
Keputusan itu menyaksikan beliau mengatasi pencapaian tempat ke-33 dengan 274 mata bersih pada penampilan sulung di edisi Rio 2016.
Dalam pada itu, pelayar lelaki negara Khairulnizam Mohd Afendy mengakhiri saingan acara Laser Standard Lelaki di tempat ke-28 daripada 35 peserta dengan 196 mata bersih selepas menamatkan perlumbaan kesembilan dan ke-10, masing-masing di tempat ke-23 dan ke-20.
Namun, keputusan dilakar Khairulnizam yang memenangi pingat perak pada Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang itu lebih baik berbanding pencapaiannya pada edisi London 2012 dan Rio 2016.
Sementara itu, pemain negara Gavin Green terpaksa menunggu sehingga esok untuk menamatkan pusingan kedua acara golf Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas pusingan itu ditangguhkan susulan cuaca buruk di Kasumigaseki Country Club.
Cabaran Gavin terhenti sehingga lubang ke-14 dan beliau dijadual kembali beraksi melengkapkan permainannya pada pagi esok sebelum meneruskan saingan pusingan ketiga yang turut dijadual berlangsung esok.
Pada aksi hari ini, Gavin melakukan tujuh par selain berjaya membuat empat birdie pada lubang pertama, ketiga, keenam dan ke-11, manakala tidak bernasib baik mencatat tiga bogey pada lubang kedua, kesembilan dan ke-13 sekali gus menduduki tempat ke-55 daripada 60 peserta.
Dalam pada itu, pemanah negara Khairul Anuar Mohamad akan turun beraksi pada pusingan ketiga acara Recurve Individu Lelaki di Lapangan Memanah Yumenoshima.
Khairul Anuar, bagaimanapun berdepan tugas berat apabila dijadual berdepan pemanah Korea Selatan, Kim Woojin yang berada di kedudukan keempat dalam saingan pusingan penentuan ranking, sebelum ini.
Aksi esok juga melibatkan penembak wanita berpengalaman negara Nur Suryani Mohamed Taibi yang akan memulakan saingan dalam pusingan kelayakan 50m Rifle 3 Posisi Wanita di Lapangan Menembak Asaka. – BERNAMA