KABUL – Tentera udara Afghanistan mengebom sebuah hospital swasta menyebabkan seorang terbunuh dan tiga lagi cedera, kata pemiliknya.

Dr Mohammad Din Narewal berkata, hospital tersebut menjadi sasaran kerana pihak tentera percaya anggota kumpulan Taliban dirawat di hospital tersebut.

Katanya, para pegawai kerajaan di daerah Ariana memaklumkan kepada beliau bahawa Hospital Pakar Ariana yang mempunyai 20 buah katil di bandar Lashkar Gah itu diserang berdasarkan maklumat kementerian pertahanan.

“Bagaimanapun tiada Taliban di hospital ini,” kata Narewal. Kementerian pertahanan tidak mengulas permintaan AP untuk mendapatkan ulasan mengenai perkara itu.

“Saya diberitahu terdapat kesilapan kerana mereka diberikan maklumat yang salah bahawa Taliban berada dalam hospital ini,” katanya sambil menjelaskan bahawa pada hakikatnya anggota kumpulan Taliban menerima menerima rawatan di hospital yang lain di bandar tersebut.

Ketua Majlis Wilayah Attaullah mengesahkan hospital tersebut diserang oleh tentera udara Afghanistan dan seorang mangsa terbunuh.

Serangan udara itu dilakukan ketika kumpulan Taliban mara ke bandar di barat daya itu, mencetuskan pertempuran dengan Angkatan Keselamatan dan Pertahanan Nasional Afghanistan.

Penduduk melaporkan melihat pertempuran berlaku di beberapa buah kejiranan.

Narewal berkata, para doktor telah melakukan dua pembedahan sehari sebelum itu, namun hospital tersebut telah mengurangkan jumlah kakitangan yang bertugas berikutan pertempuran yang berlaku.

Kini dua pesakit masih berada di hospital berkenaan di samping beberapa orang jururawat.

Pada lewat Sabtu, angkatan keselamatan Afghanistan dilaporkan mengusir kumpulan Taliban keluar daripada bandar tersebut dengan serangan udara dilaporkan berlaku. – MalaysiaGazette