Parlimen Malaysia menyaksikan pertukaran tiga kerajaan dalam tempoh tiga tahun selepas BN kalah PRU14.

KERAJAAN harus berani mengambil tanggungjawab di atas segala kekeliruan melibatkan isu pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat yang sedang hangat diperkatakan serta mengambil segala langkah yang perlu bagi menghentikan kekeliruan ini dengan segera. Ini susulan kenyataan oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong (YDPA) baru-baru ini yang menzahirkan rasa dukacita baginda terhadap kenyataan yang dibuat di Parlimen pada Isnin lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum lagi diperkenan oleh baginda lagi.

DYMM YDPA menegaskan kenyataan yang telah dibuat terhadap perkara ini pada Isnin lepas adalah tidak tepat dan mengelirukan ahli Dewan Rakyat. DYMM YDPA turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai 2021 cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.

Kenyataan yang dikeluarkan dari Istana Negara itu turut menegaskan bahawa Perkara 150 (2B) yang dibaca dengan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan Darurat terletak pada DYMM YDPA. Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai 2021 yang telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen, bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan pembatalan beberapa jenis ordinan yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh Proklamasi Darurat antaranya termasuklah Ordinan Darurat (Kuasa- Kuasa Perlu), Ordinan Darurat (Kuasa- Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 [Berhubung dengan Berita Palsu], Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021, Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah – Pesalah) (Pindaan) 2021, Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021.

Isu melibatkan kekeliruan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat adalah amat serius dan perlukan perhatian serius dari semua pihak yang terlibat khususnya mereka yang berada di dalam Parlimen itu sendiri dan oleh kerajaan. Oleh yang demikian, adalah penting supaya satu siasatan terperinci dilakukan terhadap isu yang serius ini dengan segera dan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah terhadap perkara ini. Isu ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana ia boleh menghantar satu isyarat yang salah kepada rakyat. Nama Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi juga akan tercalar.

Malaysia adalah sebuah negara demokrasi berparlimen dan mengamalkan prinsip raja berpelembagaan serta keluhuran prinsip undang-undang, segala isu yang berbangkit perlu mendapat perhatian yang serius dan satu tindakan tegas perlu diambil dengan segera. Pada masa yang sama juga rakyat ingin ketahui dengan jelas status terkini segala ordinan darurat yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh darurat terutamanya dari aspek status undang-undang dan penguatkuasaan ordinan-ordinan berkenaan. Kerajaan harus memberi keterangan yang lebih terperinci terhadap perkara ini kepada rakyat.

Pada bulan Jun yang lalu, DYMM YDPA telah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin. Perkara ini perlu dilaksanakan untuk membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli- ahli Dewan Rakyat dalam Parlimen. Pembukaan semula Parlimen adalah penting supaya institusi demokrasi terpenting dalam negara kita ini dapat menjalankan fungsinya utamanya bagi menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan negara.

Setiap wakil rakyat yang telah dipilih perlu menjalankan tugas mereka di dalam Dewan Rakyat melalui proses persidangan. Proses persidangan dalam Parlimen adalah penting untuk melakukan proses semak dan imbang bagi meneliti dan menilai segala langkah dan usaha yang telah diambil oleh pihak kerajaan sepanjang tempoh darurat dilaksanakan sejak pertengahan bulan Januari yang lalu terutamanya langkah dan usaha dalam menghadapi penularan virus Covid-19 yang telah banyak menjejaskan kehidupan rakyat.

Setiap langkah dan usaha yang dilakukan oleh kerajaan perlu dibahas, dinilai, ditegur dan ditambahbaik. Ketiadaan proses persidangan di dalam Parlimen menyebabkan proses demokrasi dalam negara kita tergantung, sekali gus mengundang keresahan orang ramai dalam negara kita dan mengundang tanggapan negatif dari negara lain. Ia juga boleh memberi kesan terhadap pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara kita untuk tempoh jangka masa panjang. Pihak kerajaan akhirnya telah bersetuju untuk membuka semula persidangan dalam Dewan Rakyat namun ianya sekadar untuk beberapa hari sahaja bermula 26 Julai 2021.

Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Profesor Madya,
Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)