KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Kelantan membuat laporan polis terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Takiyuddin Hassan berhubung pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Laporan itu dibuat Timbalan Pengerusi Perhubungan Putra Kelantan, Asri Ali bersama barisan kepimpinan peringkat negeri dan bahagian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, hari ini.
Dalam laporan itu, Putra Kelantan meminta polis menyiasat Takiyuddin atas salah laku dan salah guna kuasa oleh seorang menteri dalam menjaga dan menjunjung kedaulatan undang-undang.
Menurut Asri, sebagai menteri, Ahli Parlimen Kota Bharu dari Pas itu sepatutnya lebih arif dengan perlembagaan seperti mendapatkan perkenan YDPA sebelum membuat keputusan membatalkan Ordinan Darurat.
“Sepatutnya begitulah, tetapi apa yang diharapkan oleh rakyat tidak berlaku, sebaliknya kerana mahu kekalkan kuasa, mereka cuba manipulasikan undang-undang negara.
“Hancur luluh hati rakyat, ditambah pula dengan masalah penularan Covid-19 yang tidak dapat diselesaikan sehingga sekarang,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Menurut Asri, banyak cubaan berlaku ke atas rakyat dan negara apabila mempunyai pemimpin yang tidak amanah dan gila kuasa. – MalaysiaGazette