KUALA LUMPUR – Bank Rakyat melancarkan program RAKYATpreneur 2.0 dengan peruntukan dana berjumlah RM2 juta kepada 200 usahawan asnaf berpotensi yang dipilih dari seluruh negara bermula semalam.

Program ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan program rintis RAKYATpreneur yang dilancarkan pada Disember tahun lalu yang mana telah berjaya menunjukkan peningkatan sebanyak 10 hingga 15 peratus dari segi keuntungan bulanan perniagaan 20 orang peserta dengan melibatkan keseluruhan dana sebanyak RM100,000.

Peserta RAKYATpreneur 2.0 yang layak juga akan diberi latihan dan bimbingan serta pemantauan secara inklusif merangkumi pelbagai aspek seperti etika keusahawanan, pembangunan idea perniagaan, perakaunan dan pengurusan perniagaan serta pemasaran digital dan penjenamaan selama enam bulan dengan penyediaan modul yang lebih komprehensif dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, inisiatif ini amat bertepatan dengan usaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam membantu membangunkan kapasiti dan daya saing usahawan B40 termasuk usahawan informal, usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana bagi memastikan pemulihan dan kelestarian operasi perniagaan ketika negara berhadapan pandemik Covid-19.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berharap program RAKYATpreneur 2.0 ini menjadikan perjalanan agenda keusahawanan negara lebih rancak dengan meningkatkan penglibatan usahawan asnaf dan mikro meskipun kita berhadapan dengan cabaran pandemik yang belum berkesudahan.

Beliau turut berkongsi kejayaan beberapa usahawan projek rintis RAKYATpreneur yang boleh dijadikan contoh kepada peserta lain.

Pada Disember tahun lalu, Bank Rakyat telah memperkenalkan program rintis RAKYATpreneur yang mana seramai 20 orang usahawan mikro dari pelbagai bidang seperti makanan dan minuman, percetakan, kedai runcit dan makanan laut telah terpilih untuk menerima dana berjumlah RM5,000 setiap seorang.

Ia termasuk bimbingan bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran keusahawanan menerusi program webinar dengan kerjasama daripada Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) serta bimbingan kewangan daripada Bank Rakyat. – MalaysiaGazette