Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan menunjukkan bahan rampasan OP Dadu Khas di IPK Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Empat sindiket judi online terbesar di Johor  ditumpaskan dalam serbuan besar-besaran bermula 15 Julai sehingga Sabtu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata serbuan Op Dadu Khas itu memberi tumpuan kepada judi atas talian dengan membabitkan premis di semua daerah di negeri itu.

“Judi online (melibatkan) majoriti orang tempatan sebab itu yang membimbangkan kita, banyak juga penjawat awam yang terlibat. Hari ini dapat gaji esok habis ada juga penjawat awam yang hutang dengan along.

“Premis judi banyak dalam satu taman, JBS Johor ini tuan-tuan mereka akan ubah modus operandi dia, contoh judi online kalau sebelum ini kita buat serbuan semua berada dalam satu premis pemain pun dalam satu premis di tempat khas.

“Tetapi hari ini apabila buat serbuan yang main ini dia akan main dekat luar yang terbaharu kita dapat maklumat orang yang top up ini dan berada di tempat lain,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen hari ini.

Selain itu, menurut Ayob Khan, tindakan tegas termasuk pemotongan bekalan elektrik ke atas premis judi online oleh Tenaga Nasional Bhd selain pembatalan lesen perniagaan turut dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam operasi besar-besaran itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam Ops Dadu Khas itu, sebanyak 90 premis rumah kedai juga telah diperiksa dengan 118 individu ditahan.

Katanya, seramai 99 daripada yang ditahan membabitkan penjaga premis perjudian manakala 19 lagi pemain yang berusia antara 19 hingga 58 tahun.

“Dalam serbuan berkenaan polis berjaya merampas sebanyak 125 telefon bimbit pelbagai jenama, seunit komputer, seunit tablet selain wang tunai berjumlah RM20,184.

“Sebanyak 46 premis turut diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh TNB daripada 146 premis yang dipohon dilakukan pemotongan berikutan terbabit judi online,” katanya lagi.

Polis berharap TNB dan PBT terus bekerjasama dengan polis dengan melakukan pemotongan elektrik dan pembatalan lesen perniagaan bagi memastikan operasi premis judi online dapat dilumpuhkan sepenuhnya jika tidak ia tetap tidak akan dapat diatasi, katanya.

Bagi tangkapan individu terbabit kegiatan judi online akan disiasar mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menjaga atau mengurus atau membantu tempat perjudian terbuka.

Polis Diraja Malaysia juga bertindak mengikut Undang-Undang Rumah Judi Terbuka 1953 selain Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 ke atas premis yang menjalankan kegiatan judi online.

“Bagi tempoh 1 Januari tahun ini hingga Sabtu lalu, Polis Johor membuat 525 serbuan judi online di negeri imi dengan 705 individu ditahan membabitkan 549 penjaga premis dan 156 pemain selain wang tunai berjumlah RM235,315 turut dirampas.

“Tindakan pemotongan elektrik dalam tempoh sama membabitkan 244 permohonan polis yang sudah dikemukakan kepada TNB dengan 74 sudah diluluskan manakala pembatalan lesen perniagaan membabitkan 224 permohonan polis dengan hanya sembilan sahaja lesen yang dibatalkan PBT,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast