Wakil penganjur ‘Keluar dan #Lawan’, Mohammad Asraf Sharafi bercakap kepada media selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 02 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Penganjur Himpunan Keluar dan #Lawan di ibu kota baru-baru ini bukan sahaja mempertahankan tindakan mereka malah telah mempertikai tindakan polis di sini hari ini.

Kesemua 11 penganjur itu terdiri anak-anak muda itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini untuk dirakam keterangan oleh bagi membantu siasatan.

Malah mereka juga mahu terus mengadakan himpunan berskala besar atas alasan mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur segera.

Salah seorang wakilnya, Mohammad Asraf Sharaf berkata, kesemua mereka hadir secara berfasa iaitu lapan orang masuk ke IPD Dang Wangi pukul 9.30 pagi tadi manakala tiga lagi individu terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita berbuat perkara yang sama sekitar pukul 12. 10 tengahari.

Siasatan dibuat di bawah Seksyen 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit dan Seksyen 21 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Sekretariat Solidariti Rakyat mengecam sekeras-kerasnya siasatan pihak polis terhadap aktivis yang hanya bersuara mengkritik dan menyatakan tuntutan kepada kerajaan.

“Seperti yang kami tegaskan, perhimpunan yang dijalankan dengan SOP yang ketat malah pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) juga mengesahkan perhimpunan itu mematuhi SOP dengan semua melakukan penjarakan fizikal
serta memakai pelitup muka.

“Kami ingin tegaskan bahawa protes Keluar dan #Lawan bukanlah dibuat untuk bersuka-ria sebagaimana kenduri makan durian Timbalan Speaker Dewan Rakyat atau mesyuarat politikus di rumah Perdana Menteri yang jelas dalam kawasan tertutup.

“Anak muda berhimpun untuk protes pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menuntut agar beliau meletakkan jawatan,” katanya kepada pemberita selepas selesai dirakam keterangan hari ini.

Tambah Mohammad Asraf, pihaknya mendapat maklumat lebih ramai akan dipanggil selepas ini sebagaimana kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acry Sani Abdullah Sani.

Menurutnya, pihaknya sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan namun tindakan siasatan ini hanya merugikan sumber dan tenaga polis.

“Sepatutnya sumber ini disalurkan ke tempat lain yang lebih utama dan menteri tak sepatutnya menggunakan pihak polis untuk kepentingan politik beliau.

“Anak muda tidak akan berdiam diri selagi tuntutan kami tidak dipenuhi. Kita akan terus anjurkan Himpunan Keluar dan #Lawan dengan skala yang lebih besar,” tegasnya.

Justeru katanya, himpunan Lawan hanya membabitkan golongan muda yang mematuhi SOP dan mana-mana orang yang mempunyai ahli keluarga berisiko dinasihati tidak turun menyertai perhimpunan.

“Malah mereka yang telah menyertai himpunan telah menjalani ujian calitan sendiri dan kuarantin kendiri di rumah masing-masing dengan kadar segera,” tegas Mohammad Asraf..-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

NGO desak tindakan tegas terhadap penganjur Himpunan #Lawan

1 Komen

  1. kurung dan tahan mereka SEMUA penganjur dalang peserta dalam wad ICU COVID supaya lihat sendiri kebenaran covid dan pengorbanan frontliner…..jika denda kompaun nanti ramailah kutip derma macam sadiq sigaragar

Comments are closed.