KUALA LUMPUR – Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri yang hanya berada di tempat keempat dalam acara terjun tiga meter papan anjal Sukan Olimpik 2020 semalam merupakan satu kejayaan kepada negara dan dirinya sendiri.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, layak memasuki peringkat akhir acara itu perlu dibanggakan kerana Nur Dhabitah sudah menunjukkan prestasi cemerlang dalam temasya sukan itu.
“Saya ingin merakamkan penghargaan dan tahniah buat penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri yang menunjukkan prestasi menakjubkan pada temasya Sukan
Olimpik Tokyo 2020.
“Walaupun terlepas peluang meraih pingat pada acara tersebut, namun saya amat berbangga kerana Nur Dhabitah telah menunjukkan prestasi cemerlang.
“Ia secara tidak langsung mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, dua penerjun China mendominasi acara terjun 3 meter papan anjal Sukan Olimpik 2020, sekali gus menghalang Nur Dhabitah Sabri untuk meraih pingat.
Penerjun negara, Nur Dhabitah, hanya dibezakan 17.6 mata di belakang pemenang pingat gangsa apabila menamatkan saingan di tempat keempat.
Zuraida juga berkata, pencapaian Nur Dhabitah itu merupakan satu permulaan baginya untuk melangkah lebih jauh dalam kejohanan sukan lain pada masa hadapan.
“Seperti rakyat Malaysia yang lain, pasti kita semua teruja dengan persembahan menarik yang ditunjukkan oleh Nur Dhabitah.
“Saya percaya anda telah melakukan yang terbaik dan rakyat Malaysia juga berbangga dengan pencapaian itu.
“Ia adalah satu permulaan dan perjalanan anda masih jauh, semoga lebih banyak kejayaan bakal dilakar di masa akan datang.
“Anda tetap menjadi juara di hati kami, rakyat Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette