MARMARIS, Turki – Anggota bomba terpaksa menggunakan pesawat dan helikopter manakala penduduk tempatan mencurah air menggunakan baldi untuk memadamkan api yang masih marak berhampiran pusat peranginan di selatan Turki yang dilanda kemarau.
Tujuh kebakaran masih marak pada hari Isnin, dipengaruhi oleh suhu melepasi 40 darjah Celsius dengan angin kencang serta kelembapan yang rendah, kata Menteri Perhutanan, Bekir Pakdemirli.
Api besar terus memusnahkan pokok-pokok di lereng bukit berhampiran resort pantai Marmaris.
Rakaman dari dron menunjukkan kawasan berkenaan dilitupi asap tebal dengan bangunan dan pokok-pokok hangus terbakar.
Sementara 16 pesawat dan 51 helikopter digunakan untuk memadam kebakaran di seberang wilayah barat daya Turki.
Gelombang panas yang memburukkan lagi kebakaran berlaku setelah berbulan-bulan cuaca sangat kering di barat daya Turki, menurut data yang dikeluarkan oleh pihak meteorologi.
Data dari Perkhidmatan Maklumat Kebakaran Hutan Eropah menunjukkan terdapat tiga kali lebih banyak kebakaran seperti biasa tahun ini, sementara seluas 136,000 hektar terbakar hampir tiga kali purata keluasan kawasan yang terbakar dalam satu tahun.
Kesatuan Eropah memaklumkan telah membantu menggerakkan tiga pesawat pemadam kebakaran pada hari Ahad.
Seorang dari Croatia dan dua dari Sepanyol bergabung dengan pasukan dari Rusia, Iran, Ukraine dan Azerbaijan.
Pengarah komunikasi Presiden Tayyip Erdogan, Fahrettin Altun, menolak kritikan terhadap kendalian kebakaran oleh pemerintah dan mengecam kempen media sosial yang meminta bantuan asing.
“Turki kuat. Negara kita berdiri tegak,” kata Altun di Twitter, yang menggambarkan kebanyakan maklumat mengenai kebakaran di media sosial sebagai “berita palsu”.
“Semua kerugian kita akan diganti,” katanya.
Lapan orang terbunuh dalam kebakaran hutan setakat ini. – MalaysiaGazette