Ketua Penerangan, Srikandi Bersatu Malaysia, Mastura Mohamad menunjukkan laporan polis berhubung kebocoran surat bertarikh 29 Julai lalu yang di dakwa dari Yang di-Pertuan Agung kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di IPD Putrajaya, Selangor .Foto HAFIZ SOHAIMI, 03 OGOS 2021.

PUTRAJAYA – Srikandi Bersatu Malaysia membuat satu laporan polis berhubung kebocoran dan penyebaran surat bertarikh 29 Julai lalu yang didakwa dari Yang di-Pertuan Agong kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Penerangannya, Mastura Mohamad berkata, pihakya memandang serius terhadap penularan surat berkenaan dan menganggap ia sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab hingga menimbulkan keresahan rakyat terutama membabitkan pihak istana dan kerajaan.

“Saya mewakili Srikandi Bersatu Malaysia telah meminta pihak polis untuk menjalankan siasatan rapi bagaimana surat berkenaan jika terbukti ketulenannya boleh dibocorkan dan disebarkan secara meluas termasuk di media sosial.

“Kita jumpa dan baca surat rasmi yang dialamatkan kepada perdana menteri itu di media sosial dan sepatutnya ia tidak disebarkan di platform itu.

“Kami mahu kes ini disiasat dari segala sudut termasuklah jika berlaku perbuatan khianat atau sabotaj yang bertujuan untuk mengganggu kestabilan kerajaan dan negara, memandangkan status surat tersebut tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi,” katanya kepada pemberita selepas selesai membuat laporan di Balai Polis Presint 7, Putrajaya.

Mastura menambah, tanpa wujudnya sebarang niat tidak baik, pihaknya yakin sebarang isu berbangkit akan dapat diharmonikan berpandukan semangat saling hormat -menghormati sejajar dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Srikandi Bersatu Malaysia mengajak semua pihak untuk kembali menumpukan sepenuh perhatian dan mengembleng segala sumber untuk bersama memerangi pandemik Covid-19 dan memulihkan kesejahteraan hidup rakyat.

Terdahulu, warkah berkaitan penamatan Ordinan Darurat daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin tular di media sosial pada 29 Julai lalu.

Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad dilihat antara yang terawal berkongsikan warkah tersebut dalam Facebook beliau dengan memuat naik status ringkas “Baru terima”.

Dalam warkah itu, Al-Sultan Abdullah bertitah supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menghadap Seri Paduka Baginda secara maya pada 24 Julai lepas.

Semasa sesi menghadap tersebut, baginda menitahkan tidak berkenan untuk menandatangani permohonan pembatalan Ordinan Darurat kerana ia dilakukan secara tergesa-gesa.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast