KUALA LUMPUR- Armada Bersatu Malaysia (Armada) tetap akan mengembleng jenteranya bagi menjayakan agenda Pelan Pemulihan Negara (PPN) walaupun terpaksa berhadapan agenda sabotaj terhadap kepimpinan Perdana Menteri.
Ketua Armada Nasional, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, sayap parti Bersatu itu tetap setia dan teguh di belakang Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dalam masa sama mahu terus memberi keutamaan terhadap kebajikan rakyat.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional menambah, Muhyiddin masih mempunyai keyakinan majoriti ahli Dewan Rakyat dan selayaknya meneruskan mandat sebagai Perdana Menteri untuk meletakkan negara di landasan menuju pemulihan ekonomi secara menyeluruh.
“Seperti yang jelas disebut oleh Perdana Menteri, sidang Parlimen pada September ini adalah forum terbaik untuk menentukan keabsahan kerajaan jika sentimen itu masih dimainkan oleh mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.- MalaysiaGazette