KUALA LUMPUR – Sekarang bukan masa yang sesuai untuk UMNO menarik semula sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pemangku Ketua Pemuda Gerakan, Wong Chia Zhen berkata, tindakan ini jelas hanya akan menjejaskan kestabilan politik dalam negara, apatah lagi ketika pandemik Covid-19.
Wong berkata, dengan bertindak sedemikian UMNO kini dilihat tidak memperjuangkan kepentingan rakyat, sebaliknya untuk kepentingan sendiri.
“Ketika pembentukan Kerajaan PN dahulu, UMNO lantang menerangkan tindakan ini sebagai langkah untuk mengembalikan kestabilan politik, tetapi boleh pula dengan keadaan Covid-19 sebegini, berkeputusan untuk menarik sokongan terhadap PN pula?
”Jangan lupa perang kita dengan Covid-19 belum lagi tamat, rakyat sedang susah. Rakyat menilai, ini bukan masanya untuk merampas kuasa.
“Tarikan balik sokongan UMNO kepada Perikatan Nasional langsung tidak bertanggungjawab, kepada ahli-ahli parti komponen dan juga kepada rakyat.
”Dulu, UMNO merupakan parti ikhlas memperjuangkan agenda rakyat. Kini, UMNO boleh mengorbankan prinsip semata-mata ingin memenuhi cita-cita segelintir,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Selain itu katanya, adalah tidak wajar Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi kenyataannya semalam melibatkan Yang di-Pertuan Agong sebagai justifikasi kepada tindakan parti itu
“Jadi jelas sekali apabila Presiden UMNO berkata ‘mengambil pendirian berpihak kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong’, ia ternyata satu lagi naratif baru dan percubaan untuk tidak lagi bersama dengan Perikatan Nasional, tetapi kali ini lebih serius kerana melibatkan Seri Paduka Baginda dalam justifikasi.
“Pemuda Gerakan mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Presiden UMNO kerana institusi diraja dan kedudukan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong adalah melampaui politik dan tidak boleh sesekali dikaitkan untuk kepentingan politik sendiri,” tambahnya.
Semalam Zahid berkata, parti itu memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN yang didakwa gagal di mata rakyat selaras Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.
Beliau berkata, kenyataan terbaharu perdana menteri tidak menjernihkan masalah, bahkan menyerlahkan kekhilafan kerajaan yang jelas menyanggah titah Yang di-Pertuan Agong dan mempersendakan baginda yang sudah beberapa kali menitahkan untuk semua Ordinan Darurat dibahas serta diungkaikan sebelum 1 Ogos lagi, bukan September 2021, sejajar Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.-MalaysiaGazette