Orang ramai yang hadir untuk menunaikan solat Jumaat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan memakai pelitup muka selepas kerajaan membenarkan hanya 300 jemaah sahaja dalam tempoh Fasa Satu Kawalan Pergerakan, Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 09 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Pertama kali dalam sejarah, dua buah masjid di Wilayah Persekutuan dijadikan sebagai Pusat Transit Mangsa Keganasan Rumah Tangga.

Selain itu menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, 12 buah masjid lagi bakal menyediakan khidmat bimbingan nasihat kepada mangsa keganasan rumah tangga.

Beliau berkata, semua masjid yang terlibatĀ  berfungsi memberikan perlindungan sementara, makanan dan minuman selain memberi khidmat nasihat dan kaunseling.

“Impak pandemik memperlihatkan banyak kes-kes berkaitan, meningkat. Masjid perlu diberi peranan sebagaimana pada zaman Rasulullah SAW dan zaman kegemilangan Islam,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Katanya, usaha ini akan dikembangkan ke negeri-negeri lain.

Meskipun pusat transit ini dilaksanakan di masjid, namun jelas Zulkifli ia turut terbuka kepada bukan muslim.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) atas kerjasama yang diberikan untuk menangani kes berkaitan keganasan rumah tangga yang meningkat susulan negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Masjid-masjid yang terlibat adalah Masjid Wilayah persekutuan, Masjid Al-Ghufran Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Masjid Al-Imam al-Ghazali, Masjid Al-Qurtubi, Masjid Amru Ibn- Al-Ass, Masjid Salahuddin Al-Ayubbi, dan Masjid Al-Imam Asy Syafie.

Selain itu, Masjid Ar Rahimah, Masjid Jameul Ehsan, Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah, Masjid Al-Muqarrabin, Masjid Az Zubair Ibn Awwam, Masjid Ar Rahman dan Mashid Al-Ikhlasiah. – MalaysiaGazette