Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Parti Warisan Sabah (Warisan) menafikan laporan bahawa parti itu menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya parti itu kekal tidak menyokong kerajaan dan dalam masa yang sama menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan semua Jemaah Menteri meletakkan jawatan.

Pendirian Warisan ini turut dikongsi bersama Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahhman, Ahli Parlimen Sri Aman Datuk Masir Anak Kujat, Ahli Parlimen Selangau (Baru Bian) dan Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau.

“Sebarang berita yang melaporkan bahawa Warisan menyokong PN adalah palsu dan berniat jahat,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam masa yang sama, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, persidangan Dewan Rakyat khas untuk usul undi tidak percaya perlu disegerakan sekiranya perdana menteri itu masih menerima sokongan majoriti.

Sidang itu juga perlu dipastikan hanya untuk usul undi percaya, tanpa membincang dan membahaskan perkara lain.

“Usul percaya harus menjadi satu-satunya isu yang dibahaskan, tidak perlu dicampuradukkan dengan isu lain khususnya menegani RMK-12 dan bajet yang dijadualkan berlangsung pada September,” tambahnya.

Muhyiddin hari ini berkata, beliau telah menerima surat akuan daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan masih mempunyai kepercayaan majoriti pada masa ini.

Sehubungan itu katanya, isu peletakan jawatan beliau di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit.

Menurutnya, perkara itu telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong ketika dipanggil menghadap di Istana Negara jam 11 pagi tadi.

Dalam masa yang sama Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional memaklumkan, usul undi percaya terhadapnya akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sidang September ini.-MalaysiaGazette