Perhimpunan Agung UMNO minggu lalu mendengar suara akar umbi untuk tidak bersama Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 ini.

KUALA LUMPUR – Sekarang merupakan masa yang tepat untuk akar umbi UMNO menilai wakil-wakil rakyat yang diangkat menjadi menteri namun ingkar terhadap ketetapan parti itu.

Demikian pandangan Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi yang mengulas mengenai keingkaran beberapa menteri UMNO terhadap keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang menarik semula sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Jelas beliau, meskipun mempunyai kuasa memecat, namun tindakan itu hanya akan mengakibatkan Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dituduh seorang pemimpin yang autokratik.

“Untuk presiden memecat boleh menyebabkan presiden terperangkap dan dituduh autokratik walaupun sebenarnya itu merupakan kuasa presiden.

“Ia merupakan satu proses yang panjang kerana memerlukan Jawatakuasa Disiplin parti dan sebagainya tapi sekarang ini akar umbi boleh menilai sendiri pendirian wakil mereka yang mungkin berasa selesa semasa berada dalam kerajaan sebab meninggalkan jawatan parti memerlukan semangat kuat, kesedaran tinggi dan kesetiaan kepada parti,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Untuk rekod pada 3 Ogos, UMNO mengumumkan menarik balik sokongan terhadap PN yang diketuai oleh Muhyiddin.

Keputusan itu diumumkan oleh Ahmad Zahid selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Susulan pengumuman itu, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang juga ahli Majlis Tertinggi parti itumeletakkan jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

Namun sehingga hari ini masih ada yang kekal menyokong PN.

Antaranya Ahli Parlimen Maran Datuk Seri Ismail Abd Mutalib yang juga merupakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ketereh merangkap Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Parlimen Rembau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sehingga kini dilihat tidak bersuara tentang pendirian mereka.

Ahli Parlimen Arau pula Datuk Seri Shahidan Kassim dilihat mempertikaikan keputusan parti yang didakwanya dibuat tanpa merujuk kepada semua wakil rakyat UMNO terlebih dahulu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin juga antara yang mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen UMNO yang cenderung dengan PN.

Mengulas lanjut Awang Azman yang merupakan pensyarah di Universiti Malaya (UM) berkata, semua Ahli Parlimen UMNO khususnya yang ingkar terhadap ketetapan parti baru-baru ini perlu sedar bahawa kedudukan mereka pada hari ini didorong oleh parti yang diwakili semasa pilihan raya yang lalu.

Tidak kurang juga mereka ini dibantu akar umbi di peringkat cawangan, bahagian yang selama ini menyokong mereka.

“Kena fikir apakah reaksi akar umbi UMNO di kawasan, di peringkat cawangan apabila melihat wakil rakyat mereka yang telah dilantik menjadi menteri tidak patuh kepada keputusan yang ditetapkan parti sedangkan mereka menjadi ahli Kabinet daripada UMNO, bukannya parti Pas atau parti lain. Jadi ini yang perlu mereka fikir.

“Satu lagi, pilihan raya akan datang merupakan satu persaingan yang sangat sengit dan sukar dan mencabar.

“Maknanya tanpa dukungan akar umbi dan cawangan UMNO, sukar mereka (menteri UMNO yang menyokong PN) mendapat kemenangan di kawasan yang mereka wakili,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau yakin ahli Parlimen UMNO yang menyokong PN bersikap tunggu dan lihat terhadap terhadap mana-mana kuasa yang menunjukkan kestabilan dalam masa terdekat.

“Saya kira mereka (menteri UMNO yang menyokong PN) ini bersikap tunggu dan lihat, tengok gelombang yang ada.

“Jika gelombang yang ada memihak kepada perdana menteri, maka mereka akan terus menyokong tetapi sekiranya ada gelombang dari bawah akar umbi mendesak wakil rakyat mereka akhirnya akan akur kepada parti,” tambahnya.-MalaysiaGazette