PETALING JAYA – Virus Delta mampu “menginap” lebih lama di udara dan menjangkit seseorang yang tidak pernah mendekati pesakit.
Kekentalan virus Delta juga menyebabkan penjarakan fizikal sebanyak tiga hingga enam meter tidak lagi berkesan sepenuhnya dalam pencegahan penyakit.
Pakar virologi terkemuka yang menemukan virus Nipah, Profesor Datuk Dr. Lam Sai Kit berkata, walaupun daya jangkit Delta adalah sangat kuat, tetapi vaksin dapat mencegah pesakit daripada mengalami sakit tenat atau kematian.
“Delta boleh menjangkit dalam persekitaran yang sesuai (untuk virus), kadar jangkitan yang tinggi mempunyai kaitan dengan jangkitan melalui aerosol.
“Ia boleh tinggal lebih lama di udara dan permukaan yang tercemar,” katanya kepada Sinchew Daily.
Jelasnya, berbanding orang yang sudah menerima vaksin, mereka yang belum berbuat demikian berdepan risiko sakit tenat dan kematian 10 kali ganda lebih besar.
Tambahnya, orang yang sudah menerima vaksin masih boleh terjangkit dengan menunjukkan simptom ringan dan menjangkit kepada orang lain.
“Kajian mendapati orang yang sudah menerima vaksin dan juga belum menerima vaksin membawa jumlah virus yang banyak,” katanya kepada Sinchew Daily.
Jelasnya, keadaan itu juga menyebabkan Amerika Syarikat menguatkuasakan semula peraturan pemakaian pelitup muka di ruang tertutup.
“Di Malaysia, orang ramai juga perlu terus memakai pelitup muka dan melakukan penjarakan fizikal walaupun setelah menerima vaksin.
“Harapannya adalah imuniti kelompok dengan kadar vaksinasi 80 peratus ke atas akan dapat dicapai secepat mungkin, sekali gus mencegah mutasi virus.
“Kami sudah dengar varian baharu seperti Delta plus dan Lambda. Saya berharap varian seperti ini tidak akan masuk Malaysia setelah kami mencapai imuniti kelompok,” katanya. – MalaysiaGazette