KUALA LUMPUR – Aset bernilai RM114 juta yang disita oleh pihak berkuasa pada 17 Mei 2018 daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah dipulangkan kembali baru-baru ini.
Media melaporkan aset yang dirampas itu telah dipulangkan kepada Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan dan juga kepada UMNO pada 17 Jun lepas.
Perkara itu telah disahkan oleh Timbalan Pendakwaraya Faten Hadni Khairuddin hari ini sambil mendedahkan ianya telah dipulangkan kembali melalui wakil.
Aset tersebut juga telah dipulangkan selepas pasukan tidak memohon untuk memfailkan rayuan selepas kegagalan pihaknya dalam melucut hak aset berkenaan pada 20 Mei lepas.
Kerajaan sebelum ini telah gagal dalam permohonannya untuk melucut hak wang tunai berjumlah RM114 juta yang disita polis di Pavilion Residence didakwa milik Najib dan UMNO.
Hakim Muhammad Jamil dalam penghakimannya, berkata mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan wang dirampas dari sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd itu diperoleh daripada kesalahan pecah amanah.
Katanya, pegawai penyiasat kes pengubahan wang haram iaitu Asisten Komisioner D Rajagopal gagal menunjukkan wang itu adalah harta curi, wang dipindahkan hasil daripada pecah amanah jenayah atau penipuan serta gagal menjelaskan bagaimana pecah amanah jenayah atau penipuan berlaku.
Rajagopal gagal mendedahkan dan mengenal pasti siapa diamanahkan dengan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), siapa yang mempunyai penguasaan dominan ke atas wang 1MDB dan dengan curang menyalahgunakan wang dana itu serta gagal menjelaskan bagaimana Najib adalah ejen 1MDB.
“Mahkamah juga mendapati pemohon gagal membuktikan kaitan antara wang dalam akaun Ambank milik Najib dengan wang yang disita.
“Jadi, saya menolak permohonan pendakwaan selaku pemohon untuk melucut hak wang RM114 juta yang disita polis di Pavilion Residence itu,” katanya ketika itu.
Muhammad Jamil berkata, atas imbangan kebarangkalian, pemohon gagal membuktikan wang disita dikaitkan dengan pengubahan wang haram atau hasil aktiviti haram membabitkan pecah jenayah dan kesalahan menerima harta curi.
Pada 2019, pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings untuk melucut hak barangan merangkumi 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 aksesori jam tangan, 234 pasang cermin mata serta 306 beg tangan dan wang tunai berjumlah RM114,164,393.44.
UMNO dan Najib adalah pihak ketiga dalam permohonan itu. Mana-mana pihak ketiga mendakwa mempunyai kepentingan ke atas barangan dirampas boleh hadir di mahkamah untuk mengemukakan alasan mengapa barangan itu tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan. -MalaysiaGazette