Fadzmel Fadzil
Fadzmel Fadzil

KUALA LUMPUR – UMNO sudah membuat keputusan tepat untuk memilih meninggalkan saf Perikatan Nasional (PN), tegas Exco Pemuda parti itu, Fadzmel Fadzil.

Kenapa UMNO berbuat demikian, katanya, kerana kerajaan PN gagal memperjuangkan nasib rakyat, selain menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Ya, UMNO dah membuat keputusan dan memilih untuk tinggalkan saf PN kerana gagal menerajui kerajaan yang berjuang nasib rakyat dan jelas menderhaka kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“UMNO tidak angkuh dan bongkak seperti Pemuda PN yang mabuk kuasa dan berlindung di belakang Perdana Menteri yang tidak mampu memimpin negara,” tegasnya menerusi kenyataan kepada media, hari ini.

Fadzmel berkata, Ketua Pemuda PN, Ir. Khairil Nizam Khirudin tidak perlu menyindir keputusan kepimpinan UMNO untuk menarik semula sokongan terhadap kerajaan PN.

Katanya, kenyataan itu dibuat bersandarkan kepada kuasa dan pangkat menyebabkan segala prinsip serta pegangan lenyap hilang dari pandangan.

“Kluster derhaka ini seperti hanyut dan tidak bersama denyut nadi rakyat yang kian menderita akibat kepincangan sebuah kerajaan.

“Apa usaha dilakukan Ir. Khairil Nizam ketika rakyat dihimpit kesusahan, dipaksa berkurung di rumah dengan tanpa bantuan, dipaksa merayu memohon i-Sinar, i-Citra, Moratorium serta bantuan tunai?

“Di mana suara Pemuda PN ketika itu? Di mana #KlusterDerhaka ketika Pemuda UMNO mendesak dan memberi cadangan-cadangan menerusi #TuntutanRakyat?

“Bila didesak dikatakan hikayat Gunung Ledang, bila ditekan supaya lantang bersuara, dikatakan sedang berbisik. Bila diajak beri pandangan, disuruhnya mencetak wang kertas, malah bila diajak bersama menghantar surat kepada kerajaan untuk membantu rakyat, mereka sibuk menghantar surat sokongan meminta projek!,” dakwa beliau.

Katanya, mungkin kerana mabuk kuasa, elok beliau waraskan kembali pemikiran #KlusterDerhaka mengenai beberapa janji utama dalam piagam Muafakat Nasional.

Menjung dan mempertahankan Keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan negara, Islam sebagai agama Persekutuan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan serta menjamin kepentingan masyarakat majmuk terpelihara.

Beliau yang juga Setiausaha Pemuda Barisan Nasional (BN) berkata, berlindunglah di belakang Perdana Menteri yang tidak mampu memimpin negara.

“Menyoroklah dari perancangan yang ternyata gagal di mata rakyat jelata dan teruslah selesa di kerusi empuk, teruslah mendabik dada dan satu hari nanti jangan pula melutut meminta nyawa.

“Teruslah memuja Perdana Menteri ketika dia sedang berkuasa. Teruslah bersama #KlusterDerhaka yang menjadi asbab kematian yang semakin tinggi dan teruslah memangkin angka bunuh diri hanya kerana sifat pentingkan poket di sisi.

“Teruskanlah dengan kenyataan mencipta sengketa sebegini kerana yakinlah wahai Ketua Pemuda PN bahawa sebenarnya nilai sahabat lebih mulia daripada habuan dunia yang dinikmati hari ini. – MalaysiaGazette