BERA – Seorang peneroka terkejut apabila menemui i bom lama peninggalan Perang Dunia Kedua seberat 226 kilogram ketika membersihkan ladang kelapa sawit di belakang rumah di Felda Triang 1.
Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mansor Samsudin berkata, bom jenis UXO Arial itu ditemukan dalam keadaan separuh terkeluar daripada tanah kira-kira pukul 3.30 petang semalam.
“Hasil penilaian mendapati bom jenis ini berisiko untuk dialihkan dan hanya boleh dimusnahkan di tempat ditemui.
“Difahamkan kawasan tersebut dikelilingi dengan rumah peneroka dengan jarak terdekat adalah 100 meter.
“Bom lama sepanjang 0.9 meter akan dimusnahkan pada pukul 10 pagi esok setelah persediaan dibuat dengan memaklumkan penduduk setempat,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.
Tambah Mansor, pihaknya akan memastikan proses pemusnahan bom berjalan lancar dengan menilai kawasan kejadian dan dilakukan selepas penduduk berhampiran dipindahkan ke kawasan lebih selamat.
“Penduduk berhampiran akan dipindahkan ke dalam bangunan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang terletak kira-kira satu kilometer daripada lokasi kejadian.
“Pasukan Pakar UPB Bukit Aman telah hadir memberikan bantuan teknikal. Proses membuat benteng beg pasir telah selesai lebih kurang 70% dengan menaikkan benteng beg pasir setinggi 7 kaki.
“Dokumentasi pemakluman dan persediaan agensi berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang serta ambulans akan bersiap sedia di lokasi,” jelasnya.
Selain itu, Unit Dron PGU Bukit Aman akan memberikan bantuan dengan mengukur kawasan 500m radius dan bantuan semasa kerja pemusnahan bom. – MalaysiaGazette