Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto (kiri) dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul (kanan) berjalan keluar selepas memberi keterangan berkaitan sekumpulan Ahli Parlimen pembangkang yang berkumpul di Dataran Merdeka setelah tidak dibenarkan memasuki bangunan Parlimen pada Isnin lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 05 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Seramai tiga lagi ahli parlimen pembangkang hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pagi tadi untuk memberi keterangan berhubung siasatan polis mengenai perhimpunan di Dataran Merdeka pada Isnin lalu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, Ahli Parlimen DAP Batu Kawan, Kasthuri Patto dan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Hari ini merupakan hari kedua polis mengambil keterangan daripada ahli parlimen pembangkang selepas enam pemimpin hadir semalam yang membabitkan dua sesi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Azmi Abu Kassim berkata, ketiga-tiga mereka hadir ke IPD Dang Wangi satu persatu bermula jam 10 pagi tadi.

“Saya percaya lebih ramai ahli parlimen akan hadir untuk membantu siasatan himpunan itu dalam masa terdekat ini.

“Polis masih meneruskan siasatan dan kita mahu rekod percakapan mereka pun perlu lihat kesesuaian dan kelapangan masa ahli-ahli parlimen terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada Isnin lalu, seramai 107 ahli parlimen pembangkang termasuk Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad; Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berhimpun di Dataran Merdeka selepas gagal memasuki Parlimen.

Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang sepatutnya diadakan pada hari itu ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Polis membuka kertas siasatan berhubung perhimpunan Ayang dilakukan ahli parlimen pembangkang di Dataran Merdeka berikutan 206 laporan polis diterima di seluruh negara.

Azmi bagaimanapun tidak mengulas lanjut jumlah wakil rakyat pembangkang yang sudah selesai dirakam keterangan setakat ini.

BACA ARTIKEL BERKAITAN:Enam ahli Parlimen pembangkang dipanggil ke IPD Dang Wangi 

Enam ahli parlimen yang hadir semalam untuk dirakam keterangan di IPD Dang Wangi adalah Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua; Ahli Parlimen Lembah Pantai; Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

Polis membuka kertas siasatan berhubung perhimpunan Ayang dilakukan ahli parlimen pembangkang di Dataran Merdeka berikutan 206 laporan polis diterima di seluruh negara.

Pada Slasa lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, siasatan dijalankan mengikut kesalahan Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021(P.U.(A) 293.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736). – MalaysiaGazette